Malaysia Dateline

MB Terengganu dikatakan hilang akhirnya ‘muncul’ di Kemaman

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang sebelum ini dikatakan menghilangkan diri dilihat ‘muncul’ ketika mengadakan sesi taklimat mengenai perkembangan banjir di Pejabat Daerah Kemaman pagi tadi.

Gambar-gambar sesi taklimat dengan berapa orang antaranya Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, dan Perpaduan Nasional Terengganu Hanafiah Mat turut bersama beliau.

Sebelum itu Samsuri kelihatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai, di Kemaman pada Jumaat bagi melawat mangsa banjir.

Ketika di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai beliau dikatakan telah membuat video live dengan menerima sebanyak lebih kurang 600 komen dan 300 perkongsian.

Perkembangan itu hanya diketahui media menerusi perkongsian siaran langsung (live) di laman Facebook rasminya sekitar jam 12.15 tengah hari tadi.

Menurut sumber melalui grup WhatsApp pengamal media bersama kerajaan negeri (Media Perdana), rakaman secara langsung berkenaan perkembangan terkini pemimpin itu dibuat di daerah Kemaman.

Setakat ini pihak media belum menerima sebarang kenyataan rasmi daripada kerajaan negeri termasuk Pejabat Menteri Besar berhubung ketiadaan Ahmad Samsuri sebelum ini, lapor Sinar Harian.

Kali terakhir pemimpin itu dilihat melawat mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar daerah Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus pada 9 Disember lalu.

Ahmad Samsuri sebelum ini tular di media sosial kerana didakwa tiada di Terengganu ketika rakyat di negeri itu berdepan gelombang kedua bencana banjir.

Dakwaan itu turut dibuat bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam menerusi siaran langsung di media sosialnya pada malam Selasa lalu.

Selain itu, beberapa tangkap layar tiket penerbangan pemimpin berkenaan ke Auckland, New Zealand turut tular dan menimbulkan pelbagai reaksi setelah ia dikongsikan di media sosial.

Hanafiah Mat mengesahkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berada di New Zealand.

Baca juga: Dosa tidak mengundi, dosa beri rasuah mengundi? Apa jawapan Hadi