Malaysia Dateline

MB Terengganu gagal selesai masalah rakyat di kawasan sendiri

Adun Rhu Rendang yang juga Menteri Besar Terengganu Dr Samsuri Mokhtar disifatkan gagal untuk menyelesaikan masalah rakyat di kawasannya sendiri walaupun mempunyai kuasa di negeri mahupun di peringkat Persekutuan.

Menurut Senator Raja Kamarul Bahrin Shah Samsuri tidak peduli terhadap nasib 120 pembeli di sebuah projek perumahan yang terletak di Kg Gong Cempedak, dalam Parlimen Marang.

Di mana katanya, projek tersebut tergendala sekian lama selepas pembeli menandatangani perjanjian beli rumah yang bermula tahun 2015 dan pada asalnya dijanjikan siap pada tahun 2018.

“Namun pemaju telah memohon agar ditunda tarikh serah rumah atas pelbagai alasan. Dijanjikan pula setahun berikutnya iaitu pada Jun 2019.

“Sehingga kini projek tersebut masih lagi belum siap dan kerja kerja pembinaan sudah lama tidak berjalan malahan kawasan tapak projek telah dipenuhi semak samun,” katanya.

Apa yang mengecewakan katanya, pembeli yang sebahagian besarnya adalah kakitangan kerajaan telah menulis surat sebanyak 3 kali kepada Menteri Besar Terengganu, tiada jawapan atau respon diterima sehingga sekarang.

“Memandangkan projek ini melibatkan tanah asal milik kerajaan dan terletak pula di kawasan Menteri Besar sendiri (Dun Rhu Rendang), keprihatinan MB Terengganu amatlah diharapkan.

“Surat pertama dan kedua telah dihantar kepada MB Terengganu pada tahun lepas dan surat ketiga pada bulan April 2021 memohon pertemuan untuk rundingan dan khidmat nasihat,” katanya.

Bahkan jelas Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Terengganu aduan juga telah dibuat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tetapi pegawai KPKT masih belum melawat tapak projek yang terbengkalai tersebut dan tiada tindakan lanjut menyebabkan pembeli semakin keliru.

“Apa yang kecewa ialah sikap MB Terengganu yang tidak melayan permintaan temujanji mereka.

“Sekurangnya kurangnya Pejabat DUN boleh bertindak atau pejabat Parlimen boleh berperanan. Namun, tiada respon yang diterima.

“Desakan saya agar MB Terengganu memberi perhatian kepada permasalahan ini. Amatlah memalukan apabila dibiarkan pertanyaan rakyat tanpa sebarang respon dari kerajaan yang meletakkan slogan ‘Maju Berkat dan Sejahtera’,” ujarnya.

Justeru, kayanya menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, pembeli rumah projek terbengkalai ini dari golongan B40 terpaksa mengikat perut kerana terpaksa membayar sewa rumah semasa mereka dan juga ansuran pinjaman rumah yang tidak diketahui bila akan disiapkan.