Malaysia Dateline

‘MB Terengganu nak jadi macam Presiden Pas lari dari jawab soalan?’

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga pemegang saham terbesar dalam Terengganu Development and Management (TDM), perlu memberi penjelasan berhubung status agensi itu yang tidak mengemukakan penyata tahunan untuk tiga tahun berturut-turut.

Pengerusi AMANAH Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah mengulangi desakannya agar Samsuri tidak terus berdiam diri dari memberi penjelasan tentang isu yang berbangkit.

Beliau bertanya sama ada pemimpin Pas itu mahu mengikut jejak langkah Presidennya yang bergegas meninggalkan Perhimpunan Agung Umno dan mengelak menjawab persoalan dari media.

“Ini bukanlah sikap baik oleh sebuah parti Islam, ‘accountable’ serta telus atas amanah dan kuasa yang dipikul. Berani untuk menjawab pertanyaan rakyat jika berada di pihak yang benar.

“Apakah yang Menteri Besar dan Kerajaan Terengganu ingin sembunyikan dari pengetahuan rakyat.

“Kenapa tiga tahun penyata TDM tidak dikemukakan ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia mengikut peraturan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia)?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Februari lalu, Kamarul yang juga Senator Dewan Negara menyatakan rasa hairan apabila tindakan undang-undang hanya dikenakan terhadap anak syarikat TDM Berhad iaitu Kelana Jaya Medical Centre, namun tidak kepada TDM itu sendiri.

Beliau berkata, Kelana Jaya Medical Centre hanya gagal menyerah simpan penyata kewangan tahunan untuk tahun 2018, namun TDM pula tidak mengemukakan laporan kewangan tahunan selama tiga tahun berturut-turut dari 2018 hingga 2020.

Justeru, beliau mempersoalkan sekiranya wujud campur tangan dari pihak politik atasan yang menghalang SSM mengenakan tindakan ke atas TDM kerana Menteri Besar Terengganu adalah Pengerusi Terengganu Inc dan pemegang saham terbesar di TDM.