Malaysia Dateline

MB Terengganu dinasihat ‘celik mata’, jangan abai kebajikan penarik beca

Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mempersoal di mana usaha kerajaan negeri untuk membantu golongan susah terutama warga penarik beca yang dilaporkan tidak mendapat perhatian dan bantuan dari kerajaan negeri.

Beliau berkata, golongan ini yang paling terjejas kerana bantuan RM200 yang dahulunya diberi, kini tiada lagi dan terpaksa bergantung kepada kehadiran pengunjung sekiranya ada.

Justeru katanya, adakah ini cara kerajaan negeri melepaskan tanggungjawab mereka dengan membiarkan warga beca hanya mengharapkan ihsan individu.

“Duit royalti dah dapat sepenuhnya sejak kita ubah cara pemberian duit minyak. Tetapi bantuan pada rakyat seperti pembawa beca ini langsung tidak sampai

“Tidak singgah, tidak ada cakna pun dari pejabat Menteri Besar. Inilah yang amat menyedihkan. Apa tanggungjawab kerajaan dan peranan mereka untuk membantu orang yang susah. Itu lah jadi satu kesedihan warga penarik beca.

“Kalau dulu sampai 500 orang dapat bantuan. Sekarang ini tak sampai 20 orang penarik beca, tak akan 20 orang pun tak dapat bagi bantuan. Kalau bagi RM200 kepada 20 orang, lebih kurang RM4,000 sebulan. Adakah itu terlalu besar?,” soalnya dalam temubual bersama Malaysia Dateline baru-baru ini.

Terdahulu, penarik beca di Pasar Payang Kuala Terengganu mengeluh kerana sumber pendapatan mereka merosot selepas negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Mereka mendakwa hanya mampu mengharapkan ihsan simpati orang ramai untuk memberi sumbangan ekoran bantuan kerajaan negeri ditarik sejak dua tahun lalu.

Mereka juga mengatakan bahawa Menteri Besar Terengganu tidak pernah sekali menjenguk mereka, bahkan sejak Aidilfitri lalu kerajaan negeri tidak menghulurkan apa-apa sumbangan.

Sementara itu Kamarul menegaskan, golongan ini hanya mengharapkan agar Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk lebih cakna dan tidak mengabaikan kebajikan mereka.

“Itulah yang kita dapati dari rintihan pembawa beca Kuala Terengganu ini. Mereka mengharapkan kerajaan celik mata.

“Dulu Pasar Payang ini yang mengharumkan Terengganu, mempromosikan pelancongan Terengganu, naikkan nama Pasar Payang dan pelancongan. Mengapa mereka diabaikan begini,” tambah Kamarul.