Malaysia Dateline

MB Terengganu sibuk selamatkan Putrajaya, tidak peduli krisis air dihadapi rakyat

Sudah 10 hari rakyat Kuala Nerus, dan beberapa kawasan di Kuala Terengganu berdepan masalah terputus bekalan air. Masalah yang dikatakan berpunca dari paip air yang pecah ini melibatkan sekitar 100,000 orang atau 10 peratus dari keseluruhan rakyat negeri Terengganu.

Apa yang mendukacitakan, hanya selepas enam hari baru kelibat Menteri Besar, Datuk Seri Samsuri Mokhtar kelihatan muncul meninjau ke tapak kerosakan bekalan air tersebut. Diberitakan beliau banyak berada di Kuala Lumpur urusan untuk nasional.

Menteri Besar kemudiannya mengumumkan hendak menghadiahkan dua bulan bekalan air percuma kepada mangsa putus bekalan air.

Namun hadiah tersebut disambut dengan kehampaan dan sinis rakyat yang rasa begitu terhina atas penilaian rendah terhadap penderitaan dan kesusahan rakyat tanpa bekalan asas air yang begitu penting selama 10 hari lamanya.

Purata bil air rumah orang ramai tempatan sekitar RM15 sebulan untuk satu rumah, menjadikan hanya RM30 untuk dua bulan.

Ini adalah sama dengan harga dua karton kotak air mineral yang hanya cukup untuk kegunaan minum dan memasak untuk dua hari bagi satu isi rumah.

Banyak juga komen mereka terpaksa mengangkut sendiri bekalan air untuk wudhu, membasuh dan mandi. Ramai menanggung kos terpaksa menghantar baju ke dobi dan memesan makanan melalui Food Panda.

Kesan dari kerja berat, termasuk yang tua mengangkat air setiap hari, ramai yang mengalami sakit belakang dan tidak dapat berkerja serta terpaksa mengupah orang mengurut.

Ini semua dinilai Menteri Besar yang kurang prihatin, memadai dengan air percuma dua bulan bernilai RM30. Terkini kedengaran bekalan air hanya akan pulih pada hujung Ogos ia itu tempoh putus bekalan air selama 30 hari.

Kalau potongan bil air percuma oleh kerajaan Terengganu bernilai RM30, ini bermakna rakyat akan mendapat RM1 untuk satu isi rumah setiap hari. Kalau ada lima orang sebuah rumah, bermakna dapat 20 sen satu orang, wow !

Adakah ini nilai penghargaan kerajaan Pas Terengganu yang mendapat duit royalti minyak lumayan ke atas penderitaan rakyat sendiri?

Inilah negeri yang digelar Kuwait Malaysia. Kemana perginya wang royalti minyak lumayan yang kini didapati secara terus?

Bukan sahaja nilai ‘bantuan’ RM30 bagi air percuma untuk dua bulan dipandang satu penghinaan, sebelum ini kerajaan Pas Terengganu dan Kelantan telah memberi amaran kepada rakyat tentang pengibaran bendera putih untuk bantuan makan dan minum. Ini tidak patut dilakukan.

Kini begitu ramai orang persendirian serta NGO bertungkus-lumus menghantar bantuan air ke semua rumah kerana tidak lagi perlu bendera  putih yang dulu dipandang serong kerajaan Pas negeri. MB satu minggu entah ke mana.

Sudah tentu setiap hantaran kumpulan persendirian ini membawa nilai bantuan lebih dari nilai Rm30 yang dijanjikan kerajaan Negeri.

Soalan utama adalah kenapa sejak bermulanya krisis terputus bekalan air pada minggu lepas, satu Mesyuarat Pengurusan Bencana di peringkat negeri tidak pernah di adakan?

Sekarang rakyat sudah sedar Menteri Besar lagi mengutamakan untuk menyelamatkan kerajaan persekutuan dari rakyat Terengganu sendiri kerana itu beliau banyak berada di Putrajaya.

MB Terengganu menyambut Mahiaddin pada semalam

Apabila Mahiaddin sampai di Terengganu untuk lawatan mengejut dan melawat pusat vaksin di Taman Tamadun Islam yang terletak hanya seberang sungai dari tapak patahnya paip bekalan air, Menteri Besar telah segera siap hadir bersama.

Bila bekalan air untuk lebih  100,000 orang rakyat Terengganu putus, selepas enam hari baru MB dapat muncul.

Kalau Menteri Besar begitu sibuk tidakkah  boleh ahli EXCO atau setiausaha kerajaan negeri diarah mempengerusikan jawatankuasa bencana tersebut demi rakyat ?

Terengganu kelihatan seperti kapal tanpa nakhoda. Pegawai pegawai kerajaan pun mengeluh bersama rakyat.

Sudah berapa tarikh jangkaan pulih yang kerap berubah seolah penyelesaian bekalan air ini disebutkan tanpa keyakinan atau kepastian. Berita terkini melaporkan bahawa proses pembaikian paip rosak itu hanya akan siap akhir Ogos ini pula.

Kerajaan negeri berjanji siasatan khas akan diadakan untuk menentukan adakah kerja pengambilan pasir berdekatan yang menyebabkan insiden ini berlaku, tetapi selepas satu minggu tiada laporan susulan dan nama syarikat tersebut menjadi rahsia.

Mengapa merahsiakan nama syarikat projek ambil pasir tersebut semasa spekulasi bertiup kencang penglibatan pihak tertentu yang ada kaitan dengan ahli politik kerajaan?
Kami menuntut nama syarikat yang disiasat di umumkan segera.

Semasa rakyat Terengganu susah, MB memilih untuk banyak berada di Putrajaya dan bukan bersama rakyat. Sebuah pantun khusus untuk ingatan pimpinan Pas kerajaan Terengganu.

Dengarlah nasihat si orang tua,

Raja dihormat rakyat dibela,

Pemimpin asyik berdamping orang berkuasa di Putrajaya,

Rakyat hanya dicari menjelang pilihanraya!