Malaysia Dateline

MB terlalu banyak habiskan masa di KL, masalah bekalan air berlarutan

Tindakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang didakwa meninjau kerosakan bekalan air selepas seminggu rakyat di negeri itu menghadapi masalah tersebut, diselar dan dipersoal Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Kamarul secara sinis berkata, Menteri Besar dipercayai sedang sibuk di Kuala Lumpur menghadiri hal lain yang dianggap lebih penting daripada masalah rakyat Terengganu yang tiada bekalan air selama seminggu dan berterusan sehingga sekarang.

Beliau mempersoalkan adakah cubaan menyelamatkan hayat hidup politik Perdana Menteri yang bermasalah jauh lebih penting dari kebajikan rakyat sendiri yang merupakan tanggungjawab utama Samsuri.

“Selepas hampir enam hari sejak 2 Ogos, diberitakan hanya pada tengah hari Sabtu (7 Ogos) Menteri Besar kelihatan turun padang ke Sungai Terengganu, menuju ke tapak punca kerosakan bekalan air tersebut.

“Soalannya, kenapa hampir seminggu baru kelihatan turun ke Losong meninjau kerosakan bekalan asas penting untuk rakyat?

“Rakyat hari ini yang celik maklumat mempersoalkan bagaimana paip besar yang membekalkann air di dasar sungai boleh terputus.

“Adakah ia kesan aktiviti oleh kontraktor berlesen mengambil pasir dari sungai?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarul berkata, untuk mendapat kebenaran dan memulakan kerja-kerja mengambil pasir, kelulusan pelbagai jabatan serta agensi kerajaan perlu diperoleh terlebih dahulu.

Jelasnya, kelulusan tersebut termasuklah daripada tujuh jabatan dan agensi antaranya Jabatan Bekalan Air, Jabatan perparitan dan saliran, Syarikat Air Terengganu, Pejabat Tanah dan Galiam Negeri, Pejabat Tanah Kuala Terengganu, Unit Perancang Ekonomi Negeri, dan Jabatan Alam Sekitar.

Justeru beliau bertanya, sama ada benar ada individu tertentu yang mempunyai kaitan dengan Adun tempatan yang juga merupakan Exco negeri, terlibat dalam projek pasir tersebut.

“Menteri Besar terlalu banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur sehinggakan bukan sahaja kebajikan rakyat biasa diabaikan, aktiviti Exco dan Adun Terengganu menjadi tidak terkawal dengan berbagai tuduhan salahguna kuasa.

“Ramai rakyat biasa, termasuk penyokong Pas sendiri, mengadu penyelewengan cara pembahagian projek di Terengganu dalam kalangan terpilih tertentu sahaja.

“Kalau MB asyik berdamping dengan Mahiaddin di Putrajaya sahaja, keadaan akan lebih parah,” ujar Kamarul lagi.