MB ucap tahniah kontinjen Selangor muncul juara SUKMA Sarawak

MB ucap tahniah kontinjen Selangor muncul juara SUKMA Sarawak

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengucapkan tahniah kepada kontinjen Selangor kerana berjaya muncul juara keseluruhan Sukma di Sarawak berlangsung pada 22 hingga 31 Julai.

Dengan kejayaan Selangor menjuarai Sukma, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan menaik taraf beberapa kemudahan sukan bagi memberi keselesaan dan berteknologi tinggi, antaranya pusat latihan bagi gimnastik artistik, boling padang, memanah, lawan pedang, gimrama dan sukan tempur.

Beliau bersyukur kerana konsep 2I yang menekankan pelan pembangunan sukan untuk tempoh lima tahun mampu meletakkan Selangor sebagai sebagai peneraju kecemerlangan sukan di negara ini.

Azmin berkata program dijalankan melalui Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) itu sejajar dengan kemahuan Kerajaan Negeri untuk menjadikan Selangor sebagai Smart State dalam bidang sukan.

“Berpandukan konsep ini, MSNS akan mengaktifkan Majlis Sukan Daerah (MSD) dengan meluaskan pembangunan sukan secara menyeluruh ke setiap daerah dalam Selangor,” katanya kepada media selepas majlis penutup Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 2016 di Stadium Sarawak, di sini, malam tadi.

Pelan pembangunan sukan bagi 2016 hingga 2020 dengan konsep 2I itu adalah ‘Incorporate And Integrate’ iaitu memaksimumkan sumber dengan kos efektif ke arah satu objektif, Selangor peneraju kecemerlangan sukan serta ‘Incorporating The Stakeholders And Intergrating Programs’.

Katanya, sebuah gimnasium latihan renang (dry gym) di Pusat Akuatik Darul Ehsan juga akan dibina sebagai imbuhan khas kepada pasukan renang yang berjaya membawa 20 emas, 15 perak dan sembilan gangsa.

“Pembangunan sukan tidak hanya tertumpu kepada Sukma sahaja, malah MSNS mengambil insiatif membangunkan sukan popular negara iaitu bola sepak dan sejajar dengan pelan pembangunan sukan Selangor, sebuah akademik bola sepak Selangor akan ditubuhkan.

“Buat masa ini, MSNS sedang berbincang dengan beberapa kelab bola sepak luar negara untuk menjalin kolaberasi supaya pendekatan akademik ini dapat dijalankan secara professional,” katanya seperti dipetik Selangorkini.

Katanya, MSNS juga akan mewujudkan semula pusat sains sukan yang menitikberatkan elemen rawatan kecederaan dan fisioterapi, latihan gimnasium, latihan sukan, kursus kepegawaian dan kejurulatihan bagi menyediakan sumber tenaga bidang berkenaan.