MB,Exco, Adun Perlis perlu isytihar harta

MB,Exco, Adun Perlis perlu isytihar harta

Semua anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Perlis termasuk yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri perlu mengisytiharkan harta kepada umum melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi memastikan tadbir urus dan tatakelola negeri berada pada tahap lebih baik.

Ketika membuat gesaan itu, Asrul Nizan Abd Jalil (PKR-Pokok Sena) berkata mereka wajar mencontohi ketetapan kerajaan persekutuan yang memutuskan semua anggota kabinet, anggota Parlimen dan Adun Pakatan Harapan (PH) mengisytiharkan harta kepada umum dalam tempoh tiga bulan dari tarikh angkat sumpah.

“Mana-mana lantikan politik dan kakitangan kerajaan yang duduk dalam lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan juga perlu isytiharkan kepentingan mereka supaya hujah, pendirian dan keputusan mereka boleh dilihat sebagai telus, adil dan bebas daripada sebarang pengaruh,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada Mesyuarat Pertama Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-14 di Kompleks Dun, Kangar hari ini lapor Bernama.

Sebilangan wakil rakyat pembangkang daripada PH sebelum ini dengan sukarela telah mengisytiharkan harta masing-masing melalui Invoke Malaysia yang diasaskan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Asrul Nizan berkata selain itu kerajaan negeri juga disaran memperkenalkan Enakmen Kebebasan Maklumat bagi memastikan entiti kerajaan bersikap lebih telus dan terbuka.

“Ini penting dalam proses demokrasi kerana maklumat yang dipegang kerajaan itu bukan maklumat mereka semata-mata tetapi untuk kepentingan dan pengetahuan rakyat juga.

“Tanpa hak untuk mengetahui, seseorang itu mungkin tidak mampu membuat keputusan dan PH sebelum ini telah berjaya menggubal enakmen itu di Pulau Pinang dan Selangor,” katanya.

Sementara itu Nor Azam Karap (PKR-Kuala Perlis) berkata wakil rakyat PKR di negeri ini bersedia menjadi pemudah cara antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang kini ditadbir PH, terutamanya dalam menangani cabaran-cabaran demi kesejahteraan rakyat.

“Kita semua maklum akan kebergantungan kerajaan negeri kepada kerajaan pusat dari segi perbelanjaan operasi dan pembangunan, justeru kami sedia bekerjasama agar segala agenda untuk mencapai hasrat Perlis Negeri Bandaraya 2030 berada pada landasannya.

“Kesediaan dan komitmen untuk bekerjasama ini juga harus datang daripada pihak kerajaan negeri terutamanya daripada Adun Bintong sendiri (Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man),” katanya.

CATEGORIES
TAGS