Malaysia Dateline

MBM perlu bebas politik, presiden wajar letak jawatan

Pemuda AMANAH Nasional mendesak Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mu’ammar Ghadafi Jamal dan seluruh kepimpinannya yang terlibat dalam kepimpinan Pemuda Umno di setiap peringkat meletakkan jawatan secara terhormat.

Naib Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, tindakan mengundurkan diri secara terhormat itu sekali gus membebaskan MBM daripada belitan dan kawalan parti politik.

“Hal ini jelas telah mencarik sikap tidak berpihak MBM dan beliau selaku Presiden perlu mengambil langkah drastik untuk mengembalikan penghormatan awam kepada MBM.

“MBM dalam sejarah yang panjang merupakan gabungan belia yang dihormati kawan dan lawan. Penghormatan yang diraih gabungan ini tidak lain adalah sikap tidak berpihak yang dimiliki selain bebas daripada tunggangan mana-mana parti politik,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Tegasnya, kecenderungan MBM dijadikan tapak untuk naik sebagai pimpinan Pemuda Umno sebelum ini bukanlah suatu yang rahsia.

Malah katanya, ia terbukti apabila ramai pimpinan kanan MBM yang menawarkan diri bertanding dalam pemilihan Pemuda UMNO yang lalu.

“Keadaan ini tidak patut berlaku dan jelas telah mengheret MBM ke ruang partisan,” kata beliau.

Katanya, keadaan yang sedia rosak menjadi semakin parah apabila Mu’ammar Ghadafi secara terbuka telah berkempen untuk memenangkan calon Umno dan BN dalam pilihan raya umum yang lepas.