MBS sasar kumpul 1,000 buku menerusi kempen jom derma buku

MBS sasar kumpul 1,000 buku menerusi kempen jom derma buku

Majlis Belia Sabah (MBS) menyasar untuk mengumpul 1,000 buku menerusi Kempen Jom Derma Buku untuk ditempatkan di Mini Perpustakaan Arena Belia Kepayan, dekat sini.

Sejak kempen itu dilancarkan pada 20 Dis tahun lepas, pelbagai pihak antaranya Perpustakaan Negeri Sabah dan beberapa individu tampil menderma buku dan sehingga semalam, 338 buku sudah diterima antaranya buku pendidikan, ekonomi, sejarah, keagamaan dan novel dalam bahasa Melayu serta Inggeris.

Presiden MBS Ahmad Farid Sainuri berkata pembukaan mini perpustakaan di Arena Belia, Kepayan itu antara aktiviti pihaknya menggalakkan budaya membaca dalam kalangan belia di negeri ini.

Lebihan sumbangan buku akan diagihkan kepada belia di kampung-kampung untuk dijadikan sudut bacaan, katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Justeru,  MBS mengajak lebih ramai masyarakat tampil untuk bersama-sama menjayakan kempen itu, dan MBS mahu memastikan budaya membaca terus diterapkan dalam kalangan anggotanya di negeri ini yang berjumlah 200,000 orang.

Pusat pengumpulan di Arena Belia Jalan Winley Kepayan memulakan waktu pengumpulan pada Isnin hingga Jumaat dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang sehingga 31 Jan ini.

— BERNAMA