MCA bantah DBKL haramkan pesta arak

DBKL menolak permohonan penganjur untuk mengadakan Better Beer Festival 2017 pada Oktober depan

MCA membantah keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ yang dijangka diadakan di pada 6 dan 7 Oktober ini.

Ketua Biro Keharmonian Agama MCA Ti Lian Ker berkata, DBKL harus konsisten dan telus dalam keputusannya serta tidak tunduk kepada desakan politik.

“DBKL tidak boleh menolak sewenang-wenangnya permohonan penganjur atau memberi amaran bertindak tanpa memberikan sebarang alasan.

“Sebab mesti diberikan dan notis serta masa yang cukup haru diberikan kepada orang awam jika terdapat perubahan peraturan atau dasar dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DBKL dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah menerima permohonan daripada pihak penganjur pada 28 Ogos untuk menjalankan aktiviti tersebut di Solaris Damansara dari pukul 2 petang hingga 11 malam.

“Bagaimanapun DBKL telah membuat keputusan untuk menolak permohonan penganjuran aktiviti tersebut pada tarikh, masa dan tempat yang dinyatakan.

“Sekiranya pihak penganjur meneruskan aktiviti tersebut tanpa kebenaran DBKL, tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada akan diambil,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Ti Lian Ker berkata, DBKL harus memikirkan mengenai pelancong dari seluruh dunia dan industri berkaitan yang telah mengeluarkan perbelanjaan untuk menyertai acara yang diadakan secara bermusim ini.

“DBKL tidak boleh dilihat membuat keputusan berdasarkan keinginan mereka atau kepada tekanan politik atau pihak ekstremis.

“Ini juga boleh menggalakkan lebih banyak tekanan keras dan ekstremis jika DBKL dilihat lemah dalam menegakkan undang-undang atau dasar awam mereka sendiri,” katanya.

Penganjuran pesta itu sebelum ini dibantah keras oleh Pas yang turut menggesa para mufti segera mengeluarkan fatwa dan pandangan khusus berhubung penganjuran aktiviti seumpama itu sebagai panduan dan arahan kepada kerajaan.

CATEGORIES
TAGS