MCA biadap, pertikai biasiswa kepada pelajar Palestin

MCA biadap, pertikai biasiswa kepada pelajar Palestin

Pemuda AMANAH Perak menggesa Timbalan Ketua Pemuda MCA, Tan Chee Hiong jangan bersikap biadab dengan mempertikaikan pemberian biasiswa kepada pelajar Palestin untuk meneruskan pengajian di peringkat sarjana muda, sarjana dan PhD di 12 universiti ternama di Malaysia.

Ketuanya Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, hubungan rapat Malaysia-Palestin telah terjalin begitu lama dan sikap Malaysia adalah jelas dalam hal ini iaitu Palestin adalah sebuah negara yang tertindas dan perlu dibantu dalam segenap aspek termasuk pendidikan.

Jelasnya, pemberian biasiswa yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada pelajar Palestin bagi meneruskan pengajian di negara ini adalah selari dengan dasar luar Malaysia terhadap Palestin dan akan menjadi contoh kepada negara-negara lain.

“Dalam hal ini dimaklumkan bahawa sumber peruntukan biasiswa tersebut adalah daripada universiti terlibat dan bukan daripada dana awam seperti yang digambarkan beliau. Ini jelas menunjukkan beliau tidak membuat semakan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasnul menyifatkan MCA bersikap tidak adil dan cuba memutar belit fakta sebenar apabila mendakwa kerajaan di bawah Pakatan Harapan meminggirkan kaum Cina dan bukan bumiputera dalam pendidikan.

Salah satu inisiatif yang telah diambil bagi menafikan dakwaan tersebut adalah Kerajaan Pakatan Harapan pada pembentangan bajet 2019 telah memperuntukkan sejumlah RM 165 juta kepada SJKC, SJKT, Sekolah Mubaligh, dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan bagi tujuan naik taraf dan selenggara sekolah-sekolah tersebut.

Selain itu, kata beliau, peningkatan bilangan pengambilan pelajar bukan bumiputera daripada 25 000 kepada 40 000 untuk Program Matrikulasi turut menyaksikan peningkatan pelajar bukan bumiputera yang akan ditawarkan ke program tersebut meningkat sebanyak 60 peratus daripada sebelumnya.

“Ini adalah antara contoh bahawa PH tidak pernah memandang sepi keperluan pendidikan bagi kaum cina dan bukan bumiputera di negara ini.

Justeru, katanya, tindakan Tan Chee Hiong yang mengeluarkan kenyataan secara tergesa-gesa dan tidak berlandaskan fakta adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan perlu dikecam kerana berpotensi menimbulkan salah tanggap di kalangan rakyat yang rata-ratanya bersimpati terhadap apa yang berlaku kepada rakyat Palestin dan positif terhadap pemberian biasiswa tersebut.

“Semua pihak terutamanya MCA digesa supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan menyemak semua fakta bagi mengelak daripada berlakunya sikap prejudis yang menjurus kepada sifat perkauman dalam kalangan masyarakat di Malaysia,” tegasnya.

Tambahnya, sehingga kini, belum ada sebarang teguran dibuat oleh Pas dan Umno terhadap rakan sekutu mereka ini.

Oleh itu, Pemuda AMANAH Perak menggesa Pas dan Umno supaya menasihatkan MCA sebagai sekutu mereka untuk membuat permohonan maaf terhadap kenyataan yang telah dikeluarkan dan mengambil iktibar agar membuat semakan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Terdahulu, pengumuman kerajaan untuk menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar dari Palestin meneruskan pengajian di peringkat sarjana muda, sarjana dan PhD di 12 universiti ternama di Malaysia telah menyebabkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pemimpin parti pembangkang dan netizen.

Tan Chee Hiong berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menjaga keperluan semua kaum di negara dan bukan hanya mengambil berat kaum Cina atau bukan Bumiputera ketika pilihan raya umum.

“Contohnya pemberian biasiswa kepada pelajar Palestin. Pelajar bukan Bumiputera pula tertekan di bawah pemerintahan PH,” katanya.