DAP Johor mendakwa MCA gagal melihat melihat isu sebenar, jauh sekali untuk mencermati tawaran Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini nanti bagi menyelesaikan isu yang dibangkitkannya.
Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata, beliau merujuk laporan media mengenai kenyataan yang dikeluarkan jurucakap publisiti MCA Ti Lian Ker yang mendakwa DAP cenderung beralih ke ‘dasar berasaskan etnik’ yang dikuasai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Kata beliau, dengan memetik jumlah pengulangan kosa kata ‘bumiputera’, ‘Melayu’, ‘Cina’, ‘India’ dan ‘Orang Asli’ yang terdapat dalam manifesto PH, Ti ternyata begitu naif sekali kerana tidak mampu melihat keseluruhan tawaran yang dikemukakan oleh PH terhadap permasalahan yang sedang melanda negara ketika ini.
“Disaat rakyat dihimpit beban kos sara hidup yang tinggi dan pemimpin negara terpalit pelbagai skandal serta rasuah, Ti dan parti MCA hanya mampu melihat segala permasalahan ini menerusi kacamata perkauman semata-mata.

“Ternyata MCA gagal melihat isu sebenar, jauh sekali untuk mencermati tawaran PH bagi menyelesaikan isu-isu tersebut.
“MCA juga gagal mengemukakan solusi kepada permasalahan negara dan hanya mampu kembali ke garis keras perkauman,” kata beliau dalam kenyataan medianya hari ini.
Jelas Sheikh Omar, beliau masih boleh terima sekiranya MCA mengkritik tawaran-tawaran manifesto PH lantas mengemukakan cadangan-cadangan baru yang lebih baik dan konstruktif.
“Idea lawan idea lah! Namun daripada kenyataan Ti, ternyata MCA sudah ‘tiada modal’ lagi untuk berhadapan dengan rakyat dan bercakap soal dasar serta tawaran polisi yang baik bagi menyelamatkan ekonomi negara.
“Dalam kenyataan yang sama juga, Ti turut mendedahkan sikap hipokrit beliau apabila mengkritik manifesto pilihan raya PAS.
“Beliau kononnya mengatakan PAS mahu melaksanakan hukuman jenayah agama yang lebih ketat dan membandingkan ia dengan manifesto BN yang didakwa lebih menyentuh soal toleransi, kepelbagaian kaum dan budaya,” kata beliau.
Sedangkan katanya lagi, Ti terlupa bahawa dalam isu RUU355 di parlimen pada sesi-sesi dewan rakyat yang lalu yang mengaitkan sandiwara PAS dan kerajaan persekutuan membuktikan bahawa UMNO adalah ‘segala-galanya’ dalam BN. MCA tidak mampu lakukan apa-apa.
“Dari pemerhatian saya, MCA sudah tidak relevan sama sekali untuk rakyat Malaysia. Dalam banyak hal, MCA hanya pandai ‘buat riuh’ sahaja tetapi hakikatnya tidak mampu untuk lakukan apa-apa,” katanya.