Malaysia Dateline

Muhammad Khalil Abdul Hadi

MCA tidak perlu jadi DAP untuk dapatkan sokongan Cina, kata Pemuda Pas

Ketua Pemuda Pas Mohamad Khalil Abdul Hadi mengingatkan MCA agar tidak perlu takut atau menjauhi parti Islam itu kerana mereka bukan ektremis agama dan pelampau bangsa seperti yang di ungkap.

Dalam satu kenyataan, Khalil berkata, apa yang perlu bagi MCA ialah untuk menjadi lebih kompetitif, lebih telus dan lebih berdaya saing untuk menjadi pilihan utama kaum Cina.

“Selepas PRU-14, MCA perlu tahu bahawa sokongan kaum Cina terhadap DAP telah mula menurun. Maka boleh di katakan DAP bukan lagi pilihan utama kaum Cina,” katanya.

Katanya, PAS berjuang hanyalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan dan Undang-Undang iaitu Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan, tidak lebih dari itu, selebihnya hanyalah retorik dan ciptaan musuh untuk menakutkan rakyat dan mungkin MCA kepada PAS.

“Mungkin PAS dan MCA adalah dua parti yang berbeza pendirian dan pendapat, namun demi untuk kepentingan umum, rakyat dan negara, kemungkinan besar PAS dan MCA mungkin boleh duduk semeja dan bersetuju di atas banyak perkara kerana bagi PAS, kepentingan umum, rakyat dan negara adalah paling utama,” katanya.

Beliau tidak menolak di masa lalu ada sedikit salah faham dan perkhabaran yang tidak betul di antara PAS dan MCA di lontarkan yang menyebabkan kerenggangan dan permusuhan.

“Namun tidak semestinya tidak boleh di perbaiki dan di perbetulkan demi kepentingan umum, rakyat dan negara. PAS membuka seluas-luasnya ruang untuk MCA berbincang dan duduk semeja di atas kepentingan umum, rakyat dan negara.

“PAS berpendapat jika PAS, UMNO, MCA, MIC dan beberapa parti pembangkang lain dapat membentuk satu kerjasama yang erat, jitu dan kukuh, tidak mustahil Kerajaan PH yang ada sekarang akan tumbang di PRU 15 akan datang. MCA bukan DAP malah MCA lebih baik dari DAP. Usah biar rakyat jadi mangsa dan tertipu lagi,” katanya.