MCKIP, Gebeng berpotensi tinggi tarik pelabur

MCKIP, Gebeng berpotensi tinggi tarik pelabur

Taman Perindustrian Kuantan Malaysia China (MCKIP) yang terletak di kawasan perindustrian Gebeng di sini, mempunyai potensi yang tinggi untuk menarik pelabur.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming berkata lokasi di Gebeng adalah strategik berikutan berdekatan dengan Pelabuhan Kuantan yang memudahkan pergerakan keluar masuk bahan mentah dan produk siap.

Katanya antara pihak yang telah menyatakan minat untuk melabur di taman perindustrian itu ialah kilang pembuatan bateri industri dan kilang pembuatan tayar.

“Kilang tersebut dijangka dibina dalam masa terdekat, selain beberapa lagi pelaburan lain dalam peringkat perbincangan yang akan diumumkan pada masa yang sesuai.

“Kami akan terus komited dalam kerjasama dengan pihak industri di Gebeng dan MCKIP kerana potensinya yang tinggi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Penutupan Seminar Industry4WRD dan Automasi di sini, hari ini.

Terdahulu, Ong yang melakukan lawatan kerja ke sini hari ini melawat kilang pengeluaran dan penjualan produk kimia, CSA Group di Pelabuhan Kuantan dan Bucida Engineering and Consultancy Sdn Bhd di Gebeng.

Beliau berkata lawatan itu untuk mendengar suara pemain industri supaya kementerian mendapat gambaran lebih jelas mengenai cabaran yang dihadapi mereka termasuk dari aspek logistik dan infrastruktur.

Sementara itu, Ong berkata terdapat lebih 100 syarikat telah mendaftar dalam Sistem Pendaftaran Dalam Talian Penilaian Kesediaan (RA) Industry4WRD, yang menunjukkan semakin ramai berminat untuk menyertainya.

“Jumlah itu meningkat selepas kita membuat program jelajah yang akan diteruskan ke Kerteh, Terengganu dan Kota Bharu di Kelantan. Sebelum perayaan Tahun Baru Cina, hanya sebanyak 80 syarikat yang mendaftar.

“Kita berharap lebih ramai yang akan mendaftar kerana perbelanjaan yang diperuntukkan bagi RA mencukupi untuk 500 perusahaan kecil dan sederhana,” katanya

Mengenai masalah kemudahan Internet yang akan menjadi cabaran kepada IKS ke arah Industri 4.0, Ong berkata perkara itu dalam pertimbangan kementerian dengan mendapat kerjasama daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya antara intipati yang dimasukkan dalam agenda Industri 4.0 ialah program jalur lebar berkelajuan tinggi yang akan diumumkan selepas perinciannya dimuktamadkan.

— BERNAMA