Malaysia Dateline

MCOM terima kelulusan Bursa Securities untuk disenaraikan di pasaran LEAP

Penyedia penyelesaian pemasaran digital, MCOM Holdings Bhd (MCOM), telah menerima kelulusan Bursa Malaysia Securities Bhd untuk disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Securities.

Penjanaan dana dan cadangan penyenaraian itu melibatkan peletakan 18.85 juta saham atau 10 peratus modal saham diperbesarkan pada harga indikatif  RM0.28 sesaham.

“Kami menjangkakan untuk menjana perolehan kira-kira RM5.28 juta menerusi peletakan saham dengan pelabur-pelabur sofistikated terpilih daripada proses penyenaraian itu,” kata Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif  Ho Kim Hun dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata MCOM merancang untuk menggunakan sebanyak RM2.90 juta atau 54.9 peratus yang dijana daripada peletakan saham itu sebagai perbelanjaan modal bagi menyediakan kemudahan-kemudahan penting untuk menawarkan perkhidmatan internet berwayar dan tanpa wayar di Kemboja.

Syarikat juga akan menggunakan RM0.88 juta daripada perolehan untuk meningkatkan tahap pengautomasian pada platform pengiklanan bergerak dan untuk meningkatkan infrastruktur penyelesaian pengiklanan bergerak.

“Dengan penambahbaikan platform pengiklanan bergerak kami yang sedang dilakukan, kami akan mampu meningkatkan ciri-ciri pengiklanan bergerak kami seiring dengan langkah ke arah platform automatik sepenuhnya yang membolehkan interaksi antara pengiklan dan penyiar,” kata Ho.

Ketika ini, platform pengiklanan bergerak MCOM hanya membolehkan pelanggan meninjau laporan penyelesaian transaksi.

“Bagi membolehkan muat naik atau mengubah suai kempen pemasaran digital baharu, para pelanggan hanya perlu menghantar e-mel kepada petugas pemasaran kami,” katanya.

Berdasarkan modal saham diperbesarkan sebanyak 188.55 juta saham, syarikat dijangka meraih permodalan pasaran kira-kira RM52.80 juta.

— BERNAMA