Md Jais dilantik pangku Pengerusi J/K Perumahan dan K’rjn Tempatan Johor

Md Jais dilantik pangku Pengerusi J/K Perumahan dan K’rjn Tempatan Johor

Kerajaan negeri Johor melantik Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Datuk Md Jais Sarday memangku jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor berkuat kuasa Ahad ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bagi memastikan keberkesanan urusan kerajaan negeri, portfolio Pendidikan dan Penerangan, yang disandang oleh Md Jais, akan diletakkan di bawah seliaan dan tanggungjawab Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat.

“Portfolio Pembangunan Usahawan dan Koperasi pula diamanahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor Ismail Mohamed.

“Pengalihan dan perubahan bagi ketiga-tiga Pengerusi Jawatankuasa itu berkuat kuasa mulai Ahad, 12 Mac 2017 serta menjadi tambahan kepada portfolio semasa yang dipegang oleh Ayub dan Ismail,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohamed Khaled berkata penyusunan semula semua jawatan Pengerusi Jawatankuasa itu telah mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Beliau berkata penyusunan semula jawatan itu adalah bagi satu tempoh sehingga selesainya semua proses siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes melibatkan anggota keluarga dan pegawai khas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Abd Latif Bandi.

“Abd Latif kini bercuti dari tugas rasmi kerajaan negeri Johor sehingga siasatan tersebut selesai. Pelantikan Md Jais dilihat sesuai dan tepat memandangkan beliau wakil rakyat yang mempunyai pengalaman luas mengenai pentadbiran kerajaan negeri dan merupakan exco paling kanan dalam pentadbiran negeri Johor,” katanya.

Menurutnya tiada sebarang perubahan terhadap portfolio lain dalam kerajaan negeri Johor dan semua keputusan serta penyusunan semula itu dilakukan bagi memastikan segala urusan kerajaan negeri dapat berjalan lancar ekoran keputusan Abd Latif mengambil cuti.

Beliau berkata Md Jais juga akan mengumumkan beberapa langkah penambahbaikan yang radikal dalam masa terdekat bagi memastikan segala urusan berkaitan portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor dapat diperbaiki serta dikemas kini selari dengan amalan terbaik dalam tadbir urus awam.

“Saya berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama sebaiknya kepada Md Jais, Ayub dan Ismail dalam menjalankan tanggungjawab dan tugas baharu mereka.

“Kerajaan Negeri percaya pelantikan dan penyusunan semula ini adalah keputusan terbaik buat masa ini dan berharap segala perjalanan serta urusan berkaitan semua jawatankuasa dan portfolio terlibat akan berjalan lancar,” kata Mohamed Khaled.

Pada 24 Feb lepas, SPRM menahan enam individu iaitu anak dan seorang pegawai khas kepada seorang exco kerajaan negeri, dua orang pemaju, seorang peguam dan seorang orang awam yang dipercayai terlibat dengan skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini.

Pada 28 Feb pula, SPRM turut menahan seorang lagi kontraktor lelaki dipercayai suspek ketujuh dalam kes berkenaan.

Mahkamah Majistret Johor Bahru kemudian melanjutkan perintah reman selama tujuh hari bermula Jumaat lepas hingga 9 Mac ini terhadap empat daripada enam lelaki itu manakala dua daripada mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM.

TAGS