MDEC sedia bekerjasama dengan pihak berwajib rangka peraturan ICO

MDEC sedia bekerjasama dengan pihak berwajib rangka peraturan ICO

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bersedia bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MoF), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan badan berkaitan lain bagi merangka pengawalseliaan komprehensif perdagangan mata wang digital dan tawaran token digital permulaan (ICO) yang dijangka diumumkan menjelang akhir suku pertama tahun ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, MDEC berkata ia turut menyambut baik langkah MoF untuk mengawal sebarang bentuk dagangan aset digital atau ICO yang dapat memberi penjelasan terperinci skop berkaitan.

“Malah, pandangan progresif mengenai potensi industri blockchain juga sejajar dengan aspirasi Industri Malaysia 4.0 selain dapat menggalakkan saluran pengumpulan dana tambahan untuk kalangan usahawan dan perniagaan baharu,” katanya.

Pada 14 Jan, 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata mana-mana pihak yang menawarkan ICO atau menguruskan tukaran aset digital tanpa kelulusan SC boleh didakwa dan dihukum penjara 10 tahun dan denda tidak melebihi RM10 juta jika sabit kesalahan.

Sementara itu, SC berkata mereka yang membuat urus niaga dalam aset digital akan disyaratkan memasukkan peraturan kewangan antikeganasan serta pencegahan pengubahan wang serta langkah sekuriti siber dan perniagaan yang berterusan.

Bagi pelaksanaan rangka kerja pengawalseliaan aset digital, SC dan Bank Negara Malaysia akan mengadakan penyelarasan untuk memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan-peraturan di bawah bidang kuasa kedua-dua pengawal selia itu.

— BERNAMA