MDN buat pertama kali akan anjurkan Anugerah Kecemerlangan Islam

MDN buat pertama kali akan anjurkan Anugerah Kecemerlangan Islam
Antara barisan utama kepimpinan Majlis Dakwah Negara yang akan menjadi sekretariat kepada Majlis Anugerah Kecemerlangan Islam yang julung kali akan diadakan itu.

Buat julung kalinya Majlis Dakwah Negara (MDN) bakal mengadakan Anugerah Kecemerlangan Islam (AKI) yang bertujuan mengiktiraf tokoh yang banyak memberi sumbangan dalam perjuangan Islam dan negara.

Pengerusinya, Prof Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd Majid berkata, program tersebut bertujuan mempamerkan kisah kejayaan pelbagai individu dan organisasi dalam pelbagai bidang termasuk akademik, korporat, perniagaan dan khidmat masyarakat.

Katanya, anugerah tersebutterdiri daripada 16 anugerah dimana enam daripadanya merupakan anugerah kepada individu, manakala 10 lagi merupakan anugerah kepada organisasi.

“Dari segi penilaian, saya beri jaminan kepada masyarakat bahawa kita sedang menguruskan pelantikan panel yang sangat dihormati.

“Ini merupakan anugerah yang tinggi prestasinya yang akan diberikan kepada individiu dan organisasi yang betul-betul menonjolkan kegigihan dan komited tinggi yang memberi faedah kepada agama, bangsa dan tanah air.

“Kita juga beri jaminan bahawa ini bukan siri bersifat one-off. Tapi kita tidak membuat jangkaan untuk lakukannya setiap tahun. Jika ada tokoh sesuai, kita buat dalam tempoh dua tahun sekali supaya penganugerahan berlaku pada orang yang betul-betul berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media  pelancaran Anugerah Kecemerlangan Islam di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kehormat Panel Perunding Perpaduan Ummah MDN, Datuk Dr Mohd Ghazali Md Noor dan ; Penasihat Projek Anugerah Kecemerlangan Islam , Nordin Mahamud.

Anugerah Kecemerlangan Islam ini dijadualkan akan diadakan pada 11 Disember depan yang akan dihadiri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah.

Tambah beliau, sistem pencalonan bakal melibatkan dua kaedah iaitu mengumpul maklumat calon melalui pasukan yang digerakkan MDN dan melalui pencalonan orang ramai.

Katanya, setiap nama yang dicalonkan akan ditapis oleh Juruaudit yang bertanggungjawab melaporkan kepada Panel Hakim AKI yang terdiri daripada individu yang berpengalaman dalam pelbagai bidang kepakaran.

“Walaupun ramai yang mencalonkan satu nama itu, kami tetap akan melakukan penilaian secara teliti dan sekiranya kami dapati mereka tidak layak, maka mereka tidak akan tercalon,” ujarnya.

Permohonan terbuka kepada orang ramai dan calon-calon boleh mengemukakan permohonan yang lengkap dalam talian atau di pejabat MDN.

Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai bolehlah berhubung dengan wakil urusetia daripada pejabat MDN melalui email [email protected] atau layari www.aki-mdn.com