MDN cadang pengasingan kuasa Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan penyusunan semula organisasi

MDN cadang pengasingan kuasa Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan penyusunan semula organisasi

Majlis Dakwah Negara (MDN) mencadangkan agar penstrukturan semula organisasi dan pentadbiran dapat dilakukan segera bagi memastikan tidak berlaku krisis kepimpinan dan  Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dapat  kekal berada di landasan yang betul.

Pengerusinya  Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid berkata,  dengan komposisi lantikan baharu lembaga pemegang amanah dikalangan  pimpinan parti dengan pegawai sedia ada , beliau berpendapat Pengerusi Yadim Nik Omar Nik Aziz akan berhadapan dengan kesukaran untuk memimpin yayasan itu.

” Melihat kepada komposisi ahli lembaga yang ada sekarang, Ustaz Nik Omar akan berhadapan dengan kesukaran untuk memimpin memandangkan pengalaman beliau yang cetek dari segi pengurusan organisasi, kecuali beliau bersedia untuk menjadi secara de facto nya seorang Pengerusi Bukan Eksekutif.

“Untuk itu saya cadangkan pentadbiran Yadim dirombak dengan menghapuskan corak sedia ada, iaitu yang menggunakan struktur Pengurusi Eksekutif dan kembali kepada struktur lama iaitu dengan memperkenalkan kembali Pengurusi Bukan Eksekutif.

“Dengan cara itu orang  politik yang merupakan hampir semua ahli lembaga itu boleh menumpukan perhatian kepada dasar politik masing masing dan pertembungan yang tidak perlu antara lembaga dan pengurusan tidak akan berlaku.

“Dengan kata lain, beri peluang kepada ahli lembaga yang sudah ditingkatkan menjadi biro politik itu memerintah sementara pentadbiran dan pengurusan diserahkan kepada para pentadbir yang sudah disusun semula itu,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau yang berpengalaman membantu Yadim selama 30 tahun dan dilantik sebagai ahli lembaga pemegang amanah, beliau kurang yakinkepada pegawai yang ada mampu melaksanakan tugas kerana budaya kerja yang rendah dikalangan mereka.

“Berasaskan kepada pengalaman saya di Yadim, antaranya mereka tidak mempunyai keupayaan yang cukup untuk memberi nasihat yang betul kepada kerajaan. Mereka sudah terbiasa dengan budaya pak turut yang sekadar menunggu arahan dari atas.

“Untuk mengatasi kelemahan tersebut Yadim perlukan rombakan secara besar- besaran di peringkat pentadbiran bagi membentuk pasukan  pentadbiran yang cekap, iaitu dengan meletakkan setiap orang sesuai pada tempatnya,” ujarnya.

Justeru katanya lagi, bagi memastikan Yadim dapat  memainkan peranan sebagaimana tujuan penubuhannya, hari ini amat penting Yadim kembali kepada kaedah pengasingan kuasa sepertimana yang pernah dilakukan di awal penubuhan yayasan itu.

“Kalau tidak saya bimbang krisis kepimpinan akan berlaku di Yadim selepas ini.

“Walau pun komposisi ahli lembaga Yadim yang baru dilantik itu agak janggal sedikit namun secara peribadi saya masih berharap mereka
dapat menyumbang kepada perkembangan dakwah di negara ini.

“Ini kerana mereka terdiri daripada orang agama dan aktivis dakwah yang mempunyai rekod kejayaan yang tersendiri dalam bidang
dakwah di negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata walaupun ramai melihat dari segi kepentingan politik komposisi ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim itu benar- benar menggambarkan corak pemerintahan kerajaan semasa. Hal seperti itu ujarnya lagi, merupakan amalan biasa dikalangan negara sosialis  di barat mahu pun di timur.

“Dari segi pentadbiran, Yadim dibawah kepimpinan yang ada sekarang terpaksa banyak bergantung kepada pegawai yang akan merupakan tenaga sebenar yang menggerakkan yayasan tersebut.

“Kerana dalam keadaan Lembaga Pemegang Amanah telah bertukar corak menjadi biro politik perhatian lembaga tersebut tidak akan banyak tertumpu kepada membina tradisi pentadbiran tetapi sebaliknya kepada merealisasikan cita cita politik parti yang memerintah,” ujarnya lagi.