Malaysia Dateline

MDN mahu umat Islam bermuhasabah diri meraikan Aidilfitri

Majlis Dakwah Negara (MDN) hari ini merakamkan ucapan Selamat Hari Raya kepada seluruh umat Islam sempena menjelang hari raya Aidilfitri dan hari terakhir menyambut bulan Ramadhan.

Pengerusinya, Datuk Dr Mahmood Zudi Ab Majid berharap umat Islam menyambut hari raya dengan tingkahlaku baik untuk mendapat keberkatan sambutan dan mencapai objektif sambutan hari raya itu sendiri.

Tambahnya, sebulan berpuasa sebagai satu peluang untuk Umat Islam bermuhasabah diri melihat semula sama ada mereka telah mengangkat diri mereka ke satu kedudukan yang lebih baik atau sebaliknya.

“Pada hari yang mulia ini, saya bagi pihak Majlis Dakwah Negara mengucapkan Selamat Hari Raya kepada ahli dan para penyokong MDN dalam perjuangannya mencapai penyatuan dan pembangunan ummah.

“Begitu juga kepada seluruh umat Islam, malah juga kepada orang bukan Islam yang bersimpati dan memandang baik kepada Islam sebagai sebuah agama yang berbudi bahasa.

“Diharapkan supaya kita dapat mengelak dari melakukan perbuatan yang bertentangan dengan objektif sebenar sambutan Hari raya Aidilfitri yang sebenarnya menjadi satu titik dimana kita berpeluang melihat semula selepas sebulan kita berpuasa, adakah kita telah mengangkat diri kita ke satu kedudukan yang lebih baik berbanding dahulu,”katanya.