MDN,MUIP akan tubuh ‘think tank’ golongan ilmuan dan profesional di Pahang

MDN,MUIP akan tubuh ‘think tank’ golongan ilmuan dan profesional di Pahang

 

Majlis Dakwah Negara (MDN) dan Majlis Ugama Islam Negeri Pahang (MUIP)akan bekerjasama merealisasikan penubuhan kumpulan pemikir (think tank) untuk memberi pandangan dan nasihat kepada Sultan dari masa ke semasa untuk kelestarian pembangunan dakwah dan ummah khusus di negeri Pahang.

Menurut Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood  Zuhdi Ab Majid, kesepakatan itu telah dicapai dalam Multaqa Ilmuan dan Profesional yang diadakan di Pahang pada Sabtu lalu.

Katanya lagi dengan bertemakan ‘Peranan Ilmuan dan Profesional Pahang Dalam Melestarikan Dakwah dan Pembangunan Ummah’, penubuhan kumpulan pemikir ini, lebih memberi tumpuan kepada kelestarian pembangunan dakwah dan ummah di negeri itu.

“Penubuhan ‘think tank’ ini kelak sebagaimana yang dititahkan oleh Pemangku Raja Pahang agar ia dirangka dalam tiga aspek merangkumi sektor
pendidikan, ekonomi dan sosio-budaya untuk kesejahteraan ummah di negeri Pahang.

“Walaupun ia bukan program MDN sepenuhnya tetapi MDN melalui sokongan yang diberikan oleh MUIP yang dipengerusikan oleh baginda sendiri telah menganjurkan multaqa ini.

“Ia bukannya ‘think tank’ anggota MDN tetapi lebih merangkumi ‘think tank’ di kalangan ilmuan dan profesional Pahang yang dianggap oleh baginda sebagai perlu diberi ruang untuk menyatakan pandangan mereka tentang pembangunan negeri Pahang,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Multaqa sehari diadakan itu telah dirasmikan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Turut hadir ketika perasmian Menteri Besar Pahang  Datuk  Seri Adnan Yaakub, Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman dan Timbalan Yang Dipertua MUIP  Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Menurut Mahmood Zuhdi lagi, bagi MDN penubuhan kumpulan pemikir itu kelak adalah urusan baginda dan rakyat Pahang.

“MDN tidak ada peranan secara langsung di dalam menentukan corak pengurusannya yang bagaimana kelak.Cuma peranan MDN hanyalah mencadangkan kepada Tuanku dan alhamdulillah cadangan itu mendapat perkenan tuanku.” ujarnya lagi.

Ditanya sama ada multaqa sama akan dilakukan di negeri-negeri lain yang mana MDN sebagai penghubung antara golongan ilmuan dan profesional dengan Sultan dan pihak Istana?

Mahmud Zuhdi berkata, MDN bersifat terbuka dan ia terserah kepada Sultan, pihak Istana dan Majlis Agama Islam Negeri untuk menjadikan negeri Pahang sebagai model  bagi merapatkan hubungan dengan golongan ilmuan dan profesional.

“Penubuhan MDN di negeri Pahang berlaku atas sokongan kuat MUIP kerana  dipengerusikan baginda sendiri sebagai Yang Dipertua MUIP.

“Penubuhan ‘tink tank’ ini dititahkan baginda sendiri dan bukan program MDN. Ini kerana  secara tradisinya hubungan istana Pahang dengan rakyatnya begitu rapat.Untuk negeri lain terserahlah kepada raja dan istana masing-masing, ” terangnya.

Tengku Abdullah dalam ucapan perasmian telah bertitah, dalam melestarikan  dakwah dan pembangunan ummah, penganjuran multaqa sebegini bertujuan untuk menyatukan golongan ilmuan dan profesional di negeri itu dalam sebuah wadah
yang dapat mencungkil pemikiran bernas bagi menyalurkannya dalam tindakan di masa hadapan.

“Saya berharap agar penganjuran multaq ilmuan dan profesional di negeri ini tidak hanya berakhir dalam bentuk seminar dan perbincangan ritorik semata- mata.

“Sebaliknya ianya harus direalisasikan dalam bentuk ‘wahdatul amal’ (kesatuan gerak kerja dan tindakan) agar semua pihak dapat mengemblengkan tenaga dan kepakaran untuk membina kekuatan ummah menerusi muafakat dan ‘amal Jama’ie’ (secara berjemaah dan berorganisasi),” titahnya.

Justeru titah Tengku Abdullah lagi, menerusi multaqa ini perancangan strategik hendaklah dirangka dalam tiga aspek utama iaitu pendidikan ekonomi dan sosio budaya untuk kesejahteraan ummah khusus di negeri Pahang.

{loadposition myposition} Sebanyak tujuh resolusi dicapai  dalam multaqa

Dalam multaqa  yang di anjurkan MDN dengan kerjasama MUIP, Yayasan Pahang dan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) itu dihadiri lebih kurang 300  hadirin dikalangan golongan ilmuan dan profesional anak Pahang dari seluruh negeri hadir dengan hasrat untuk membantu pihak kerajaan negeri  melestarikan pembangunan Islam di negeri itu.

Sebanyak tujuh resolusi telah dicapai yang turut dibacakan oleh Pengarah Jawatakuasa Pelaksana Multaqa Ilmuan dan Prodesional Pahang Dr Abu Bakar Jaafar.

Penubuhan kumpulan pemikir  adalah salah satu resolusi yang dicapai dalam multaqa diadakan itu. 

Selain turut diterima sebagai resolusi adalah seperti diminta semua pemimpin dan pihak pentadbiran Kerajaan Negeri serta rakyat agar menghormati kuasa Ke Bawah Duli Yang Maha Sultan Pahang sebagai Ketua Kerajaan dan Ketua Agama sebagai pemerintah di negeri.

Berazam dan beriltizam untuk berperanan sebagai Rakan Strategik Dakwah kepada Mjalis Ugama Islam Dan Adat Melayu Pahang, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, Jabatan Mufti Negeri Pahang serta lain-lain agensi dan Pertubuhan-pertubuhan Islam dalam memperkasa agenda dakwah serta meningkatkan pembangunan syiar Islam di Negeri ini

Menegaskan bahawa pegangan akidah yang berasaskan kepada Ahli Al-Sunnah Wal-Jamaah merupakan satu konsep yang perlu diamalkan di negeri Pahang kerana ianya merupakan pegangan majoriti umat Islam di negara ini dan ianya adalah faktor terpenting untuk penyatuan ummah.

Menyedari bahawa amat pentingnya peranan masjid dalam membangunkan ummah dari aspek kerohanian, ekonomi, sosio budaya dan pendidikan tidak formal maka Institusi ini perlu diperkukuhkan dengan mengwujudkan jaringan kerjasama pintar dengan pelbagai pihak berkepentingan sebagai wahana transformasi ummah di masa hadapan.

Mencadangkan supaya Majlis Dakwah Negara menubuhkan Panel Pembangunan Pendidikan Ummah yang diwakili oleh pihak-pihak yang menguruskan institusi pendidikan di semua peringkat dan juga pakar-pakar di bidang pendidikan daripada kalangan anak-anak negeri Pahang bagi menyalurkan pandangan dan hasil kajian mereka kepada Jawatankuasa pendidikan yang telah ditubuhkan di bawah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, yang di pengerusikan oleh Mufti Negeri Pahang, untuk pembangunan dan kelestarian pendidikan ummah di Pahang.

Dan resolusi terakhir memperkasa ekonomi dengan menggembeling penglibatan semua pihak sama ada di peringkat agensi kerajaan atau syarikat swasta bagi meningkatkan perekonomian masyarakat Islam di negeri Pahang. Penerapan nilai inovasi dalam kalangan usahawan perlu diterapkan melalui pendidikan atau latihan bagi menaik taraf ekonomi masyarakat Islam. Maka; kami bersetuju untuk menubuhkan kumpulan pakar ekonomi untuk memberikan sumbangan idea, panduan dan pandangan bagi memperkasakan serta mengukuhkan Institusi wakaf, meningkatkan taraf ekonomi golongan asnaf, ibu tunggal, membimbing masyarakat belia dalam perniagaan di negeri ini.

Multaqa Pahang 2

CATEGORIES
TAGS