MDV kurangkan NPF kepada 4 peratus daripada 9 peratus

MDV kurangkan NPF kepada 4 peratus daripada 9 peratus

Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV), sebuah unit di Menteri Kewangan Diperbadankan, menetapkan sasaran mengurangkan pembiayaan tidak berbayar bersih (NPF) kepada kurang daripada empat peratus tahun ini daripada sembilan peratus yang dicatatkan pada 31 Dis tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Nizam Mohamed Nadzri berkata syarikat pembiayaan teknologi itu juga merancang menurunkan pembiayaan tidak berbayar kasar kepada 14 peratus tahun ini daripada 24 peratus tahun lepas.

“(Kami akan merealisasikannya menerusi) pembayaran balik dan pemerolehan semua baki pembiayaan yang ada dengan pelanggan kami).

“Kami akan cuba memudahkannya, sama ada mereka akan memperoleh aliran tunai menerusi projek lain atau pendapatan untuk membayar balik kepada kami,” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai prestasi syarikat 2018, di sini hari ini.

Sementara itu, pengerusinya Datuk Seri Lee Kah Choon berkata MDV sedang mengkaji strategi perniagaan lima tahun yang dibahagikan kepada tiga bidang teras iaitu Transformasi, Pengukuhan dan Serantau, yang bertujuan meningkatkan platform dan infrastruktur syarikat sambil memperluaskan jejak serantau dan antarabangsa.

Beliau berkata program transformasi perlu dalam memastikan  MDV terus menyokong syarikat pemula niaga dalam bidang teknologi dan sektor yang terlibat.

MDV telah memulakan penyediaan Dana Keempat dan penerokaan pendanaan alternatif serta melaksanakan program hutang teroka dan memperluasnya menerusi bahagian kedua, katanya.

“Transformasi MDV juga akan melibatkan permulaan dan pembangunan hubungan serantau dan antarabangsa bersama-sama dengan penyertaan ekuiti pedanaan awam (ECF)/rakan kepada rakan (P2P).

“Dua tahun akan datang bakal menyaksikan pengukuhan perniagaan kami dan pertumbuhan aset berterusan.

Dalam tempoh lima tahun dari 2020, MDV berharap dapat menyaksikan perkembangan ini dan pada masa yang sama menyokong pengembangan pelabelan geografi,” katanya.

Sehingga kini, MDV telah meluluskan RM11.7 bilion pembiayaan kepada 758 syarikat teknologi, membolehkan mereka menyiapkan kira-kira 878 projek dalam pelbagai bidang teknologi.

Di samping itu, sejak 2002 hingga 2018, dari perspektif pembangunan negara, MDV telah membantu membina 5,900 menara 3G/4G, yang menyumbang dalam menjana pendapatan RM21 bilion serta mewujudkan 25,000 pekerjaan.

— BERNAMA