MED kecewa prestasi lemah koperasi Bumiputera

MED kecewa prestasi lemah koperasi Bumiputera

Mohd Redzuan Md Yusof

Kementerian Pembangunan Usahawan meluahkan rasa kecewa terhadap koperasi bumiputera dalam negara yang menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan dalam menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata,ini kerana sejumlah 6.5 Juta ahli koperasi masih tidak mampu meningkatkan kadar KDNK seperti yang disasarkan.

Jelasnya, kerajaan menyasarkan ahli bumiputera untuk menyumbang sehingga 50 peratus dalam KDNK pada tahun 2030.

“Kita ada sekurang-kurangnya 1 juta usahawan termasuk syarikat berdaftar di bawah SSM tidak mencapai sasaran KDNK sehingga 4.7 peratus ke atas.

“Saya tak nampak PKS yang ada 1 Juta warga ini ini boleh meningkatkan angka yang saya sebutkan. Tapi kita sasarkan pada tahun 2030, PKS mesti sumbang 50 peratus kepada KDNK.

“Jika dilihat, koperasi dengan 6.5 Juta ahli dan 14,000 koperasi seluruh negara, masih tidak aktif ataupun kita sebut gergasi yang masih tidur. Kita mempunyai RM140 bilion aset koperasi, tapi kita mampu jana hanya RM48 bilion sahaja dalam 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Mesyuarat Agung Permulaan Ko-Best di Auditorium Angkasa, hari ini.

Justeru katanya, untuk melaksanakan apa yang dicadangkan dalam sesebuah koperasi, dataraya merupakan perkara penting yang boleh menggerakkan koperasi itu untuk menjana hasil dengan lebih cepat.

“Dengan adanya data, koperasi sepertimana yang dihajatkan Tun M, menjadi satu pemangkin signifikan boleh memberi impak kepada pembangunan ekonomi negara,” ujarnya.

Sementara itu, diminta mengulas berkaitan kereta terbang, beliau berkata ia sudah memasuki fasa kedua untuk merangsang pembangunan aerospace yang boleh menggalakkan ‘space travel’.

Beliau berkata pada pemberita, bahawa ia merupakan inisiatif swasta dan kerajaan tidak memantau persiapan pelaksanaan projek tersebut.

“Saya ulangi lagi. Itu adalah private initiative.

“Kita tidak ada kawal selia langsung untuk jadi pemudah cara dari segi berbincang di peringkat kerajaan tentang peruntukan ekosistem untuk membolehkan agensi itu dibangunkan.

“Jadi apa pun, kita tidak memantau sama ada cepat atau lewat projek itu,” ujarnya.

Ahli koperasi tidak melepaskan peluang bergambar bersama dengan Mohd Redzuan.

 

Redzuan meninjau pameran oleh ahli koperasi Bumiputera.