Malaysia Dateline

Media Barat amal kewartawanan aparteid di Palestin

Maksud Aparteid dalam laman sesawang Wikipedia berbahasa Melayu ialah “keadaan yang menyisihkan”. Maksud “penyisihan” ini merujuk kepada suatu sistem politik yang memisahkan penduduk kaum kulit putih dari kaum bukan kulit putih di Afrika Selatan dari tahun 1948 sehingga tahun 1990-an.

Dalam dasar Aparteid, kaum bukan kulit putih (terutamanya kaum kulit hitam) dianggap sebagai lebih rendah dan diberi layanan kelas kedua dari segi politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan. Semua bentuk diskriminasi perkauman adalah sah daripada segi undang-undang dan disalahgunakan oleh pihak pemerintah kulit putih untuk memastikan kekuasaan atau dominasi mereka ke atas kaum majoriti iaitu kaum kulit hitam.

Keadaan yang sama juga diamalkan oleh regim pengganas isreal. Mulai hari ini saya tidak menggunakan “i” huruf kecil untuk israel di atas dasar Aparteid yang diamalkan oleh sang kolonialis ini.

Dasar Aparteid telah dimansuhkan apabila pada 1994 apabila Nelson Mandela menjadi presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan. Namun demikian sehingga ke hari ini, kesannya telah mengakibatkan jurang pendapatan yang sangat ketara di antara kaum-kaum kulit putih dan kulit hitam di negara tersebut.

Namun isreal sejak 1948 masih meneruskan dasar apartheid ke atas penduduk Palestin. Pengusiran penduduk di kawasan timur Baitul Maqdis iaitu Baitul Jarrah atau Seksyen Syeikh Jarrah semasa bulan Ramadan akibat desakan peneroka haram yang mencetuskan penentangan penduduk ke atas tindakan tersebut.

Ini membawa kepada pencerobohan tentera israel ke dalam halaman masjid Al Aqsa dan langkah Hamas demi mempertahankan bumi Al Aqsa telah menyerang Israel dengan roket-roket mereka, Ini membawa kepada pengeboman dan kemusnahan bangunan dan penempatan warganegara Palestin.

Presiden Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia (MTJS), Dato’ Dr Prof Ahmad Merican mengutuk tindakan ini yang telah mengorbankan 188 nyawa di Gaza dan 21 lagi di Tebing Barat.

Beliau juga menyuarakan bantahan kerasnya apabila pengeboman yang memusnahkan bangunan ibu pejabat yang memuatkan media Al-Jazeera dan the Associated Press di Al-Jalaa Tower, Gaza.

Bagi beliau ini bukan saja tindakan menafikan liputan berita dan komentar mengenai penindasan dan penjajahan israel ke atas warga Palestin, dan menyekat penyaluran maklumat.

Tindakan pengeboman itu sebenarnya bagi Prof Murad adalah penyerangan terhadap institusi dan profesion kewartawanan, terhadap peranan dan tanggungjawab wartawanan dan media sebagai tukang cerita dan tukang catat peristiwa dalam masyarakat dan tamadun. Ia juga menandakan pembunuhan maklumat dan sejarah Palestin.

Dalam hubungan ini, Prof Murad menyeru Malaysia, dan masyarakat Malaysia mengisytihar Israel sebagai sebuah negara apartheid. MJTS memandang berat liputan media luar negara dan tempatan yang memperakui naratif Israel-Amerika-Barat.

Dalam hubungan saya melihat bahawa Barat dan israel sebenarnya mengamalkan kewartawanan apartheid dalam liputan mereka. Liputan mereka adalah mengelirukan dan menyisihkan perjuangan rakyat Palestin. Mereka membuat liputan mereka bagaikan hitam putih, peneroka haram yahudi sebagai yang berhak atau putih dan warganegara Palestin sebagai yang tidak berhak atau dinafikan haknya dalam hal liputan negative iaitu hitam.

Ini telah dijelaskan Presiden AS, Joe Biden bahawa “It is Israel’s right to defend itself” (Adalah hak Israel untuk mempertahankan dirinya).

Dalam hubungan ini kewartawanan Barat mengamalkan kewartawanan Aparteid dengan memaparkan israel sebagai mangsa kepada orang Palestin justeru kenyataan Biden itu harus diambil dengan serius.

Persoalannya apakah warga kedaulatan Palestin tidak ada hak untuk mempertahkan tanah air mereka yang dicerobohi dan dirampas oleh sang kolonialis regim haram israel sejak perjanjian Nakba 1948 itu.

Ini seiring dengan kenyataan media MTJS yang mengatakan bahawa kenyataan-kenyataan sebegitu, serta ungkapan seperti “Konflik-Arab Israel” atapun “Peperangan Arab-Israel” yang digunakan oleh media di Malaysia amat tidak betul sama sekali.

Ini amat mendukacitakan kerana media arus perdana di negara ini dalam terjemahan berita antarabangsa sering menjadi pak turut kepada wacana dan naratif kewartawanan Aparteid yang diamalkan media Barat. Adakah mereka telah terikat dengan perjanjian untuk terjemah secara harfiah atau tidak mengubahsuaikannya.

Media di negara ini sama ada berbahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil atau dalam bahasa yang digunakan di Sabah dan Sarawak harus peka dengan situasinya. Inilah bahana apabila media arus perdana di negara ini masih menggantungkan diri mereka kepada agensi media Barat sehingga mereka terjebak dalam bahasa dan semantik Aparteid yang digunakan media Barat.

Kenyataan MTJS mengatakan bahawa media di Malaysia – sama ada surat khabar, televisyen, radio dan seterusnya portal-portal berita dalam talian mesti akur akan jalur naratif yang betul. Malah setiap kali naratif-naratif sebegitu diutarakan, ia mesti ditangkis oleh media serta pengguna media kita, terutama sekali melalu pelantar media sosial.

Jalur naratif yang betul mesti bermula dari pengiktiraf Hari Nakba tahun 1948 di mana warga Palestin dihalau dari tanah air mereka, lalu selama 73 tahun dijajah, ditindas, dan diperakukan sebagai binatang di bumi sendiri.

Inilah yang perlu digambarkan oleh media kita setiap kali berita/liputan/komentar mengenai Palestin disiarkan. Jika kita sebagai negara tidak dapat mengalahkan mereka dengan senjata, marilah kita mengalahkan mereka melalui naratif. Kuasa naratif boleh mentafsir dan melurus semula sejarah.

Kewartawanan kejantanan kita inilah yang akan membela penjajahan israel ke atas Palestin. Media harus menjadi pentas menjungkir balikkan naratif dan wacana dalam liputan media antarabangsa khususnya dalam isu melibatkan umat Islam.

Naratif kewartawanan apartheid yang diamalkan media Barat telah menjahillkan dunia tentang perjuangan warga Palestin membebaskan negara mereka daripada dijajahi oleh sang kolonialis Zionis israel.

Editor dan para wartawan di negara ini harus peka atau perlu mendapat pendidikan kewartawanan semantik dalam isu kolonialisme regim haram israel ke atas Palestin.

Wartawan dan institusinya adalah komuniti kritikal dan membaca; membaca di sini bukan membaca buku atau artikel di laman sesawang sahaja tetapi membaca masyarakat dan isu yang berlaku terutamanya dalam isu penjajahan Yahudi Zionis ke atas kedaulatan Palestin yang dijajahi.

Membaca perkataan demi perkataan dalam naratif liputan kewartawanan Barat terhadap amalan kewartawanan Aparteid yang diamalkan Barat.

—————-

Kolumnis adalah Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia (MTJS)