Media barat disarankan tidak menjadi pihak ketiga rampasan kuasa

Media barat disarankan tidak menjadi pihak ketiga rampasan kuasa

Pemuda Amanah memandang berat kepada cara pemberitaan sebahagian media asing terutama media barat yang seolah-olah menggerakkan kempen saraf dan propaganda psikologi bagi memberikan sokongan kepada cubaan rampasan kuasa tersebut.

Naib Ketua Pemudanya Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, media barat tidak perlu menjadi pihak ketiga dalam cubaan merampas kuasa dan mengganggu-gugat kedaulatan negara Turki.

” Ini kerana ianya hanya akan menjatuhkan kredibiliti dan reputasi dunia kewartawanan umumnya.

“Pemuda Amana mahu menyatakan sokongan padu kepada rakyat, pimpinan dan negara Turki dalam menghadapi kemelut ini dan menyeru semua anak muda dan masyarakat di Malaysia dan juga seluruh dunia agar terus menghormati dan mempertahankan hak rakyat, nilai demokratik dan juga kebebasan asasi sebuah negara yang merdeka,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beberapa media Barat dilaporkan memutarbelitkan fakta ketika membuat laporan mengenai cubaan rampasan kuasa di Turki hingga mencetuskan persoalan banyak pihak terhadap kredibiliti mereka sebagai akhbar tersohor.

Pemuda Amana juga men menyambut baik kesudian Duta Besar Turki ke Malaysia Basak Turkoglu menerima kunjungan hormat pimpinan Amanah dan Pakatan Harapan semalam.

“Tujuan kunjungan hormat tersebut adalah untuk menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan pilihan rakyat dan membantah sekeras-kerasnya cubaan merampas kuasa oleh sebahagian kecil pihak tidak bertanggungjawab serta mengikuti perkembangan mutakhir yang berlaku di Turki.

“Pemuda Amanah mengambil perhatian serius apabila Duta Besar Turki menyifatkan bahawa cubaan rampasan kuasa tersebut adalah bukan sebenarnya satu kudeta tentera tetapi lebih kepada satu tindakan pengkhianatan kepada negara yang bukan hanya didalangi oleh sebahagian kecil anggota tentera tetapi juga anasir-anasir subversif lain dalam kerajaan dan juga di luar Turki,” ujarnya.

Pimpinan Pakatan Harapan berkunjung ke kedutaan Turki untuk menyatakan pendirian pakataan itu terhadap kejadian rampasan kuasa yang berlaku di Turki.

TAGS