Media bukan mukjizat, faktor tunggal kekalahan PH

Ahmad Lutfi OthmanHampir sepakat pandangan yang menyimpulkan faktor utama kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Tanjung Piai adalah kegagalan menyampaikan maklumat, cerita-cerita kejayaan pembaharuan kerajaan terutama ke peringkat akar umbi.

Rakyat tidak dapat memahami mesej dengan baik, serta lebih terpengaruh dengan dakyah atau propaganda pembangkang. Pada masa sama, agensi media awam, seperti RTM dan Bernama, juga Jabatan Penerangan, dilihat tidak berfungsi secara berkesan bagi menyalurkan informasi secukupnya, sekali gus memberi penjelasan di atas banyak kekeliruan terhadap dasar dan program kerajaan yang berusia 18 bulan itu.

Sebuah badan kajiselidik bebas mendakwa kerajaan PH seolah-olah tiada mekanisme yang berkesan untuk menangani apa-apa saja persepsi negatif yang dikeluarkan oleh pembangkang.

“Semua isu-isu yang dikeluarkan tiada counter back daripada media-media kerajaan. … seolah-olah kerajaan PH kalah persepsi secara total pada pembangkang,”‘ jelas Dr Yusri Ibrahim, ketua penyelidik Ilham Centre selepas pembentangan di seminar pasca PRK Tanjung Piai di Universiti Malaya, 22 November lalu.

Sebenarnya persoalan keberkesanan media awam bukan isu baharu. Sejak mula mengambil alih pentadbiran, kerajaan baharu meninggalkan tabiat lama regim terdahulu yang memperalat serta memperkakas media demi kepentingan politik elit pemerintah. Zaman berzaman, Malaysia dikenali dunia sebagai negara yang tidak mengamalkan kebebasan akhbar. Pelbagai akta drakonian dan dasar pemilikan media menghalang pengaliran maklumat yang tepat dan sahih.

Pada era pentadbiran dahulu, bukan sahaja media rasmi kerajaan ditundukkan sepenuhnya kepada kehendak parti pemerintah, malah media swasta, misalnya TV3 dan saluran televisyen lainnya, berfungsi bagaikan markas kempen BN khususnya menjelang pilihan raya. Begitu juga akhbar-akhbar harian, seperti kumpulan Utusan dan Media Prima, bukan hanya menyiarkan secara berlebihan mesej politik pemerintah dan memadamkan maklumat pembangkang, malah memutar-belitkan keterangan tentang parti saingan kerajaan. Fitnah, adu-domba dan pembohongan menjadi sajian harian.

Sidang media Majlis Presiden PH yang diadakan seminggu selepas PRK Tanjung Piai.

Di bawah kerajaan baharu, sebaik ditubuhkan pada 10 Mei 2018, sekurang-kurangnya dua aspek ditekankan, iaitu usaha memerangi rasuah dan keterbukaan terhadap kebebasan bersuara. Tiada lagi budaya takut yang menyerkup, masing-masing merasa lega untuk berbeda pandangan dan tidak lagi gerun untuk mengkritik kerajaan. Semasa mengambil sikap tidak menganggu urusan media yang dimiliki atau dipengaruhi Umno-BN, PH tidak pula mengusahakan media secara proksi, manakala agensi awam berkaitan beroperasi secara biasa.

Banyak pihak meluahkan rasa tidak puas hati dengan sikap kerajaan itu. Bagi mereka, pentadbiran baharu yang bertekad melakukan perubahan dan pembersihan wajar disokong jentera penerangan yang berkesan. Apatah lagi, masa sama, agensi yang mempromosi dasar-dasar kerajaan seperti JASA dan BTN (Biro Tata Negara) serta menyemai semangat patriotisme mahu dimansuhkan. Jabatan Penerangan pula dilihat kekal sebagai kubu Umno, meskipun tidak lagi aktif seperti dahulu.

Agensi kerajaan, seperti RTM, Bernama dan Jabatan Penerangan harus proaktif menjelaskan dasar dan program baharu kerajaan, serta memperjelaskan kekeliruan dan kemusykilan yang ditimbulkan pembangkang. Mesti ada inisiatif yang serius, inovatif dan kreatif, bukan sekadar melepas batuk di tangga. Tentunya ia bermula dengan rombakan besar-besaran para pegawai kanan yang terbabit, apatah lagi jika mempunyai rekod kerja yang mencurigakan. Perubahan hanya dapat dicapai jika anggota pentadbiran bersedia sepenuh hati mendukungnya.

Tidak sedikit kritikan terhadap Menteri Komunikasi dan agensi di bawahnya, terutama RTM. Malah ramai juga mempertikai sikap terbuka kerajaan sehingga memungkinkan berlaku “sabotaj” daripada kakitangan awam sendiri, atau membolehkan ada elemen “pengkhianatan” yang membantutkan agenda reformasi. Sehingga timbul cadangan perlunya rombakan Kabinet agar jawatan strategik yang berkaitan penerangan kepada rakyat wajar diisi tokoh lebih berwibawa dan memahami sentimen politik akar umbi, khususnya masyarakat Melayu.

Namun begitu, ada pihak mengingatkan bahawa zaman kerajaan menguasai segala-galanya sudah berlalu. Maklumat dan berita tidak lagi dimonopoli oleh pihak berkuasa. Akhbar, radio dan televisyen tidak efektif seperti dahulu terutama bagi mempengaruhi sikap politik audien. Massa kini terdedah dengan pelbagai media, yang sebahagiannya tidak mampu dikawal kerajaan. Pendemokrasian semakin menyeluruh seiring dengan ledakan teknologi maklumat yang luar biasa.

Saya sendiri pernah menulis, sekitar enam atau tujuh tahun lalu bahawa media bukan satu mukjizat atau lampu aladin. Kawalan terhadap media tidak semestinya dapat mempertahankan regim yang berkuasa jika berleluasa salah guna kuasa, korupsi dan suara rakyat diremehkan. Media tidak mampu memutihkan yang hitam atau mempamerkan imej bersih kepada penguasa kleptokrasi. Dunia tanpa sempadan membuka maklumat seluasnya. Dan media kini bukan sekadar melapor dan menganalisis, tetapi juga “mencipta” dan membentuk berita.

Justeru, seandainya kita kalah dalam perang persepsi dalam kalangan rakyat, usah mudah menyalahkan media. Mungkin ada kelemahan dan kegagalan dalam pengurusan agensi media kerajaan, tetapi usah dinafikam faktor-faktor lain, misalnya harapan tinggi rakyat terhadap janji-janji manifesto, kos sara hidup yang terus mencanak, kurangnya peluang pekerjaan, harga komoditi seperti sawit dan getah, isu bayaran balik PTPTN, suasana tidak menggalakkan untuk bisnes, kadar upah yang mendatar dan seumpamanya.

Juga tidak boleh diremehkan faktor berkaitan sentimen, misalnya dalam kalangan orang Melayu tohmahan DAP menguasai kerajaan manakala kepada audien Cina, DAP didakwa menjadi alat Bersatu dan Dr Mahathir Mohamad. Kepentingan Melayu-Islam dipersepsikan sebagai tergugat di bawah PH. Sensitiviti masyarakat majoriti pula dilihat tidak dihormati lagi. Masa sama hal-ehwal kelompok minoriti pula terus dianaktirikan.

Seminggu selepas PRK Tanjung Piai, semasa sidang media mesyuarat Majlis Presiden PH, Dr Mahathir sendiri mengakui: “Kita sedar bahawa keputusan buruk ini sebagai satu amaran kepada parti kita bahawa banyak perkara perkara yang kita lakukan ini tidak disenangi oleh rakyat, terutamanya berkenaan cost of living dan macam-macam lain. Termasuk tuduhan bahawa parti Pakatan Harapan ini dikuasai sepenuhnya oleh DAP itu pandangan orang Melayu, dan orang Cina berpendapat bahawa DAP dikuda oleh Dr Mahathir daripada Bersatu.”

Menangani perang persepsi ini tidak cukup dengan menyalahkan media sahaja, apatah lagi ketika PH berada di posisi kerajaan. Tentu ada aksi bagi pihak kerajaan atau mesej yang sampai ke bawah yang ditafsirkan seperti diingini pembangkang, apatah lagi di kala Umno-Pas memperkukuhkan pakatan mereka. Hakikat yang tidak boleh diambil mudah adalah pemikiran politik yang semakin kritis pasca-PRU14. Rakyat kini tambah cerewet dan tidak sabar untuk melihat perubahan yang dijanjikan.

Tidak semestinya mereka mahu kembali ke zaman gelap pemerintahan lama. Mereka mahu sampaikan mesej jelas dalam PRK. Mereka mahu zahirkan kuasa penentu sebagai pengundi agar suara dan keresahan didengar. Projek pembangunan jangan hanya disalurkan di musim PRK selepas kematian wakil rakyat. Sudah ada anjakan paradigma dalam minda rakyat walaupun diakui mungkin majoriti masih terkepung dengan sentimen perkauman dan keagamaan sempit.

Calon PH Karmaine Sardini dalam satu program kempen sempena PRK Tanjung Piai.

Mana-mana parti pemerintah pun tidak akan menikmati zon selesa lagi, sepertimana Perikatan-BN merasainya dahulu, dari 1957-2018. Ia bergantung kepada prestasi dan rekod kerja. Pastinya pengurusan persepsi itu penting, namun penilaian rakyat bukan difaktorkan semata-mata atas suluhan media. Perubahan harus dihayati kehadirannya; mempunyai impak dalam denyut nadi kehidupan. Tidak sekadar bersifat kosmetik atau tempelan. Tidak cukup dengan memenuhi tuntutan fizikal. Keperluan manusiawi dan kepuasan batiniah harus terangkum.

PH menang PRU14, tetapi selepas 18 bulan masih dilihat gagal menawan hati kelompok majoriti negara ini. Dua parti yang dianggap saingan atau alternatif terdekat Umno-Pas, iaitu Bersatu dan AMANAH, meskipun diakui mengalami perkembangan positif tetapi tetap dianggap kurang menyerlah sebagai komponen gabungan parti pemerintah. Memang tidak mudah memperagakan kehadiran yang signifikan dalam tempoh yang cukup singkat sejak penubuhan kedua-dua parti tersebut. Ditambah kesibukan menguruskan pentadbiran kerajaan, dengan keanggotaan dan bilangan wakil rakyat yang terhad, menyebabkan hal-ehwal parti kurang dipantau. Rata-rata rakyat rasanya masih tidak mengenali Bersatu dan AMANAH, apatah lagi menyelami jati diri perjuangannya.

Seorang veteran politik dan bekas menteri yang berkempen di Tanjung Piai berkata, banyak kelemahan jentera akar umbi Bersatu selain kerjasama tidak sepenuhnya daripada parti komponen PH. “Jentera tempatan lemah-longlai dan tak bermaya. Selain itu, isu ekonomi perut seperti tidak dipedulikan. Kerajaan macam tak ada jentera penerangan,” katanya, sambil mempersoalkan prestasi ramai menteri yang sebahagiannya kelihatan ‘cukup lemah’.

Loceng amaran di Tanjung Piai terlalu kuat bunyinya; pelik jika ia masih gagal mengejutkan daripada lena. Jangan pula disebabkan terjaga, terus bingkas terperanjat sehingga terjun melalui tingkap pula! Bersikap jujurlah dengan taufan yang melanda penghujung paling selatan benua Asia ini.

Jika gelombang perubahan PRU14 bermula dari selatan, usah remehkan isyarat di penjuru yang sama menjelang PRU15. Namun jangan pula asyik menyalahkan atau tertumpu hanya kepada faktor tunggal sehingga mengabaikan mesej seluruhnya. Dan tunjukkan kepada rakyat, sikap responsif kita membetulkan kesilapan dan memperbaiki kesalahan.