Media dan Perkauman: antara fitnah dan kebenaran?

Media dan Perkauman: antara fitnah dan kebenaran?

Isu media dan perkauman di negara ini dalam kaitan dengan perpaduan adalah sesuatu agak rumit dan sensitif. Ini kerana sosialisasi media di negara ini tidak berdiri sendiri, ia terangkum dalam sosialisasi politik yang dihadapi oleh setiap kaum sejak kita mencapai kemerdekaan.

Terdapat elemen-elemen sosialisasi lain yang membentuk hubungan media yang bersifat perkauman yang kekadang boleh membawa kepada sifat melampau. Elemen-elemen seperti proses sejarah, Pendidikan (sekolah jenis kebangsaan), parti-parti politik dan persatuan-persatuan berasaskan perkauman dan budaya yang amat kukuh mencengkam budaya politik setiap kaum di negara ini.

Akhirnya, lahirlah media mewakili setiap kaum yang memperjuangkan kepentingan masing-masing. Hal ini ditambahkan lagi dengan kehadiran media baharu iaitu media sosial dengan maklumat yang boleh diperolehi melalui hujung jari menjadikannya semakin kompleks.

Kelahiran media sosial dan media online yang memberikan senjata kebebasan penyebaran fitnah, berita palsu dan manipulasi yang juga tidak terlepas daripada sosialisasi politik.

Sosialisasi politik perkauman melahirkan sentimen perkauman yang tinggi dan ia terpancar dalam isu-isu perkauman di negara ini. Media massa merupakan agen penting sosialisasi politik. Sebagai contohnya orang Melayu, Cina, India dan kaum-kaum di Sabah dan Sarawak memiliki beberapa akhbar dan media yang mewakili dalam masing-masing kaum dan etnik.

Maka adalah tidak mustahil liputan-liputan berita berbau perkauman akan mempengaruhi pemikiran dan persepsi masyarakat, terutama isu-isu ketidakpuasan dasar-dasar kerajaan yang lebih memihak kepada orang Melayu. Inilah budaya popular yang selalu digunakan untuk menaikkan semangat dan sentimen kaum.

Inilah yang membawa teguran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang merayu agar media lebih bertanggungjawab dan tidak menghasilkan laporan yang boleh memburukkan lagi keadaan perkauman di negara ini.

Beliau, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, memang wujud tindakan segelintir pihak yang cuba mengapi-apikan sentimen perkauman di negara ini, namun media juga harus memainkan peranan dalam memastikan perkara itu tidak berlarutan.

“Kita dapati ada pihak yang menggembar-gemburkan soal kaum, soal agama, perbezaan macam-macam lagi, (tetapi) benda ini semua boleh diselesaikan oleh kerajaan dalam Kabinet.

“Tetapi oleh kerana banyak laporan (media) yang menimbul kemarahan, maka isu yang kecil menjadi besar, dan dia memisahkan kaum di negara kita,” katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan baru-baru ini.

Bayangkan bagaimana mudahnya jika sesuatu insiden terpencil boleh mencetuskan kejadian besar oleh masyarakat di negara ini menerusi penyebaran meluas menerusi media sosial. Contohnya isu membangunkan produk Muslim disalah tafsir oleh seorang Menteri PH sebagai “boikot” dan sentiment ini ditularkan dalam media sosial.

Bagaimana kejadian yang membabitkan contohnya pergaduhan antara dua kumpulan atau beberapa individu dalam kejadian kemalangan atau pergaduhan kejiranan boleh diikuti serta-merta oleh warga Interet menerusi berikutan tindakan pelbagai pihak memuat turunkan video pergaduhan itu di media sosial seperti Facebook, Twitter dan Whatsapp.

Dua contoh di atas akan membawa kepada kenyataan berunsur fitnah, caci mencari, hasut menghasut yang mengapi-apikan kaum yang lain.

Jika tidak terkawal dan dibiarkan begitu saja mampu mencetuskan satu pergaduhan besar di seluruh negara ini. Pendekatan ‘pengurusan krisis’ oleh pihak berkuasa amat diperlukan jika tidak mahu perkara ini terus merebak ke seluruh negara apatah lagi ia dibesar-besarkan sebagai satu pertembungan kaum.

Ia amat menakutkan jika lebih ramai yang mula mengadu-dombakan kejadian terpencil ini. Isu Zakir Naik misalnya jika tidak diuruskan dengan baik akan mencetuskan isu rusuhan kaum dan agama.

Ahli politik juga tidak seharusnya menghangatkan situasi negara dalam berhadapan dengan cabaran isu perkauman dan agama. Mereka tidak seharusnya turut mempermainkan isu-isu perkauman yang tidak sihat.

Ahli politik kita seperti masih tiada kematangan berpolitik dalam membuat kenyataan-kenyataan sensitif dan mereka harus berfikir sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan dan membuat ulasan. Jangan sekadar mementingkan populariti dan ingin sentiasa disanjung pengikut dan pengundi mereka sanggup membuat kenyataan berapi tanpa memikirkan kesannya seperti dalam peribahasa Melayu “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.”

Bahkan para wartawan tidak seharusnya terlalu menanyakan isu-isu sensitif dengan hasrat melahirkan jualan media, lebih ramai pengunjung ke media online mereka dan kemasukan banyak iklan. Ada masanya pihak media juga harus memikirkan kesejahteraan negara daripada kepentingan terbatas yang boleh membawa kepada pengsengketaan.

Isu-isu menyentuh 3-R iaitu perkauman, agama dan institusi diRaja di media sosial kini begtu berleluasa terutamanya sejak kemenangan PH kerana ramai warga Internet atau netizen menjadi kera mendapat bunga yang mengambil kesempatan daripada kebebasan ini untuk mengirim mesej dan visual mengikut nafsu dengan harapan ia boleh memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing.

Jika maklumat yang sensitif ditular dan menjadi kepercayaan, adalah sangat bahaya jika sesuatu berunsur fitnah diyakini sebagai kebenaran.

Saya amat bimbang isu-isu sensitif kaum jika ikut nafsu dan emosi dan jika tidak dikawal akan menjurus kepada fasisme bangsa, ketuanan sesuatu bangsa ke atas kaum-kaum lain. Ini tentunya sesuatu yang perlu dihindari. Oleh itu editor-editor media dan mereka yang menghantar mesej di medai sosial harus sedar dan aktif mengetahui bahawa sebarang mesej atau berita yang disiarkan jika tidak kawal boleh membawa kepada implikasi yang menjejaskan kestabilan negara.

Kita tentu tidak mahu peristiwa 13 Mei berulang lagi!

* Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Unisel.