Media diminta lapor secara adil untuk semua calon, kata Exco

Media diminta lapor secara adil untuk semua calon, kata Exco

Media diminta untuk membuat liputan berita secara adil kepada ketujuh-tujuh calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional negeri Choo Ken Hwa berkata ini merupakan semangat Malaysia baru yang memberi ruang dan peluang kepada semua pihak untuk menyuarakan pendapat.

“Saya juga berharap agar pusat media yang disediakan oleh Jabatan Penerangan ini dapat diguna pakai sepenuhnya kerana kemudahan lengkap telah disediakan untuk wartawan dan pemberita mendapatkan serta menyalurkan maklumat kepada umum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja ke Pusat Media Penerangan di The Grand Beach Resort, hari ini, lapor Bernama.

Choo yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Lukut berkata PRK Port Dickson juga merupakan satu platform kepada rakyat untuk menyuarakan keinginan mereka.

PRK Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PAS Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon bebas – bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong, bekas pensyarah universiti swasta Lau Seck Yan, dan perunding pengurusan Kan Chee Yuen.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas, penyandang kerusi berkenaan Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas Danyal Balagopal mengosongkan kerusi pada 12 Sept lepas untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 Oktober sebagai hari pengundian dan 9 Oktober hari pengundian awal.

COMMENTS

Wordpress (0)