Media mesti berani lapor demi tadbir urus kerajaan berlaku dengan telus

Media mesti berani lapor demi tadbir urus kerajaan berlaku dengan telus

Mahfuz Omar beramah mesra dengan pengamal media arus perdana

Pihak media perlu membuang rasa takut kepada ahli politik atau pimpinan kerajaan dalam membuat laporan yang tepat bagi memastikan pengurusan kerajaan berlaku dengan baik dan telus.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihak media mesti berani dalam memberikan laporan walaupun apa yang dirasakan tidak betul dilakukan orang politik.

Katanya, media seharusnya mempunyai kebebasan sendiri selaras dengan konsep pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman yang diamalkan di negara ini, selain menganggap media adalah elemen keempat kepada konsep pemisahan kuasa itu.

“Walaupun ia tidak ditulis di dalam konsep itu, hakikatnya media memainkan peranan bagi memastikan pengurusan kerajaan berjalan dengan betul.

“Tetapi syaratnya media harus melaporkan berita dengan tepat dan betul,” katanya ketika memberi ucapan di dalam Sesi Jalinan Mesra bersama pengamal media termasuk dari Kelab Media Putrajaya, di Cyberjaya malam tadi.

Bagi memastikan laporan itu tepat, katanya media harus melaporkan berita berdasarkan penyiasatan dan mengelak daripada melaporkan berita bersifat khabar angin.

“Barulah berita yang dihasilkan mempunyai kualiti yang tinggi dan sudah tentu ia tidak akan menimbulkan fitnah kepada mana-mana pihak,” kata Mahfuz.

Naib Presiden Amanah Negara (AMANAH) juga berkata, ahli politik tidak boleh menyalahkan media jika mereka sendiri memberi maklumat yang tidak tepat.

“Harus ingat, kadang-kadang mereka mengadu berita yang dilaporkan tidak betul. Kalau kita bercakap tentang perkara yang kita tidak tahu dan salah laporan sehingga boleh ‘spin’, kita tidak boleh salahkan media kerana kita sendiri yang salah bagi maklumat,” katanya.

Justeru katanya, pemimpin kerajaan dan ahli politik harus memastikan setiap maklumat yang disampaikan kepada media adalah tepat supaya persepsi masyarakat terhadap kerajaan tidak negatif.

Sementara itu, Presiden Kelab Media Putrajaya Norliza Abd Rahman mengakui wartawan lebih selesa dan bebas dalam membuat laporan sejak Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan hari ini.

“Hari ini kami berasa begitu selesa dan bebas dalam melaporkan berita di bawah kerajaan Pakatan Harapan sehinggakan membuatkan kami berasa kekok pada mulanya,” kata beliau.

Beliau juga berjanji akan memberi laporan berita yang terbaik kepada masyarakat termasuk perkara yang berkaitan Kementerian Sumber Manusia iaitu gaji minimu, pekerja asing dan banyak lagi.

 

8.5
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 9.0