Malaysia Dateline

Media Prima catat kerugian bersih lebih kecil RM30 juta

Media Prima Bhd mencatatkan kerugian bersih lebih kecil sebanyak RM30.84 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2018 berbanding kerugian bersih sebanyak RM105.17 juta dicatatkan bagi tempoh sama tahun lepas.

Perolehan berkurangan kepada RM271.8 juta daripada RM288.51 juta sebelumnya.

Pengerusi Kumpulan Datuk Mohd Nasir Ahmad berkata pelbagai inisiatif dan pencapaian Media Prima setakat ini mengesahkan syarikat itu berada di landasan betul untuk mencapai misi transformasi dalam menghadapi pelbagai cabaran signifikan yang telah memberi kesan terhadap industri media di seluruh dunia.

“Kami terus mengembangkan aspek digital kami sejak menjadi syarikat media digital ketiga terbesar di Malaysia, manakala segmen membeli-belah dari rumah dijangka melepasi sasaran perolehannya sebelum akhir tahun ini.

“Walaupun banyak kerja yang perlu dilakukan dan lebih banyak cabaran yang menanti, kami akan terus menumpukan usaha untuk mempercepatkan pelan transformasi kami dan memastikan pulangan kepada pemegang saham kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Kamal Khalid berkata keputusan kewangan Media Prima menunjukkan digital dan perdagangan merupakan bidang pertumbuhan baharu bagi syarikat untuk maju ke depan.

“Kami akan terus membuat pelaburan berhemah dalam perniagaan digital dan perdagangan dan pada masa yang sama akan menilai semula model-model perniagaan kami dengan sewajarnya untuk disesuaikan dengan landskap industri semasa,” katanya.

Kamal berkata transformasi segmen radio tradisionalnya pula untuk menyediakan penyelesaian lebih holistik kepada pengiklan, menerusi Ripple, dan menilai semula kedudukan ‘’tonton’’ sebagai perkhidmatan penstriman video yang disokong pengiklanan yang jelas membuktikan komitmen syarikat.

Bagi tempoh sembilan bulan, kerugian bersih Media Prima menurun kepada RM22.14 juta daripada RM284.92 juta bagi tempoh sama tahun lepas manakala perolehan meningkat kepada RM894.83 juta daripada RM889.48 juta.

— BERNAMA