Malaysia Dateline

Media rasmi Korea Utara sahkan lawatan Kim ke China

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un kini melakukan perjalanan ke China untuk berunding dengan Presiden Xi Jinping, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) di Pyongyang pada Selasa, satu perkembangan yang membayangkan bahawa sidang kemuncak kedua antara Kim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bakal berlangsung tidak lama lagi.

Kim dan isterinya, Ri Sol Ju, bertolak ke China pada petang Isnin untuk lawatan selama empat hari atas jemputan presiden itu, lapor KCNA.

Agensi berita China Xinhua turut mengesahkan lawatan Kim ke negara itu.

Ini merupakan kunjungan keempat Kim ke negara jiran yang juga sekutunya serta dilakukan ketika Washington dan Pyongyang sedang berunding bagi menentukan venue pertemuan antara Kim dan Trump.

Kim dan Xi dijangka membincangkan kemungkinan sidang kemuncak kedua pemimpin Korea Utara itu dengan Trump.

Tahun lepas, Kim melakukan perjalanan ke China serta bertemu Xi sebanyak tiga kali iaitu sebelum dan selepas beliau mengadakan sidang kemuncak pertamanya dengan Trump pada bulan Jun di Singapura.

Pada sidang kemuncak di Singapura, Kim bersetuju untuk berusaha ke arah pembasmian senjata nuklear sepenuhnya di Semenanjung Korea sebagai pertukaran untuk jaminan keselamatan dan hubungan baharu dengan Amerika Syarikat.

Progres bagaimanapun agak lambat dalam pembasmian senjata nuklear kerana Korea Utara meminta pelepasan sekatan manakala Washington berkata konsesi sedemikian tidak akan diberikan sehingga negara komunis itu menghentikan program senjata nuklear sepenuhnya.

— BERNAMA