Malaysia Dateline

Media Sosial hasilkan padang sama rata dalam komunikasi

Seorang sahabat Facebook menulis di dindingnya “from hero to zero in one twit”. Maksudnya dengan satu kenyataan melalui Twitter, seorang yang dianggap perwira hilang segala-galanya.

Inilah ciri media sosial yang begitu banyak orang hari ini sangat teruja tanpa menyedari kesan baik dan buruknya. Dalam bahasa media sosial, seseorang itu boleh menjadi “instafamous” atau terkenal dalam sekelip mata dengan memaparkan gambar, berita atau cerita.

“Insta” dalam instafamous adalah singkatan kepada Instagram iaitu salah satu daripada platform media sosial yang paling ramai pengguna di dunia. Menurut statista.com sehingga awal tahun ini ia mempunyai 1.2 bilion pengguna. Tapi ia bukanlah yang terbesar.

Kedudukan mengikut bilangan pengguna adalah

Facebook di tempat pertama dengan 2.7 bilion,

YouTube 2.3 bilion,

WhatsApp (bukan Wasap!) 2 bilion,

Instagram 1.22 bilion,

WeChat (Weixin) 1.21 bilion dan

TikTok 689 juta.

Banyak pengguna media sosial tidak sedar bahawa ia boleh membawa mudarat kepada mereka. Bukan saja mereka terdedah kepada caci-maki malah mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang. Ini adalah kerana mereka tidak faham undang-undang yang menyentuh penulisan dan percakapan seperti fitnah bertulis (libel) dan fitnah lisan (slander), hasutan, rahsia rasmi, kesopanan (lucah) dan banyak lagi. Kemudian Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang berkuasa ke atas penyebaran maklumat melalui Internet.

Jadi eloklah sesiapa saja yang menggunakan media sosial, hatta sekadar untuk mengulas tulisan orang lain, mempelajari sedikit sebanyak mengenai undang-undang dan etika penulisan, ucap dan perbahasan.

Berbalik kepada hero yang menjadi “zero” kerana satu tampalan, pada hemat saya ia berlaku kerana dalam keghairahan menyiarkan itu dan ini, pengguna terlupa protokol media sosial, iaitu ia tidak mempunyai atau mengiktiraf “protokol”. Media sosial adalah padang permainan yang sama rata – level playing field.

Ertinya sesiapa saja, tidak kira seorang insan totok tanpa nama, seorang Presiden negara raksasa atau Raja bermahkota yang turun bermain di padang permainan sama rata ini tidaklah boleh mengharapkan puji-pujian dan sanjungan semata-mata tetapi mestilah bersedia menghadapi tendang terajangnya juga.

Seelok-eloknya, kita ambil maklum yang sekarang ini banyak rakyat jelata marah kepada kerajaan. Kita semua tahu sebabnya. Pertama sekali ia bukan kerajaan yang rakyat pilih. Ia kerajaan tebuk atap (fatwa Abdul Hadi Awang) dan gagal menyelesaikan masalah-masalah yang menjadi alasan mengapa ia “merampas” kuasa.

Jadi tidak hairanlah kalau rakyat jelata turut marah dan kecewa dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan penubuhan kerajaan ini dan yang berpeluk tubuh membiarkan keadaan ini berterusan sambil menangguk di air keruh.

Sekian. Terima kasih.