Malaysia Dateline

Media tempatan dan luar takjub dengan pendapat bernas dan analitikal Dr Mahathir

Media tempatan dan luar yang membuat liputan Persidangan Perniagaan dan Pelaburan ASEAN di sini, hari ini merasa takjub dengan pendapat bernas dan analitikal Tun Dr Mahathir berhubung pelbagai isu semasa yang dibangkitkan.

Semasa sesi dialog yang berlangsung selama 45 minit itu, Perdana Menteri bukan sahaja menarik perhatian media malah mereka pulang dengan rasa kagum.

“Beliau seorang pemimpin yang bernas dan cemerlang,” kata seorang pemberita tempatan Thailand, Sirinet Domrongkitiphan.

Sirinet berkata, ide dan pandangan Dr Mahathir boleh diguna pakai di negara lain termasuk Thailand.

“Saya suka ide beliau bahawa ASEAN perlu berdiri teguh bersama untuk berkembang lebih pantas dan elak daripada dibuli jika kita bersendirian,” katanya.

Sementara itu, seorang wartawan antarabangsa berkata Dr Mahathir selalu memberi ide segar dan pelbagai bentuk pandangan.

“Ia adalah pembuka mata kepada wartawan tempatan dan antarabangsa pada dialog hari ini,” katanya.

Manakala seorang lagi wartawan tempatan Thailand yang enggan dikenali berkata, beliau seronok mendengar sesi apabila Dr Mahathir berkongsi tip beliau sentiasa sihat.

“Saya berharap beliau dapat menulis tip kesihatan beliau tidak lama lagi,” katanya.

Semakan segera dalam media Thailand, tip kesihatan Dr Mahathir dilaporkan dengan meluas dalam talian.

— BERNAMA