Media Thailand sifatkan Malaysia ‘pesaing’ yang menakutkan, tak sangka ini puncanya

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman di platform TikTok memaparkan laporan dari media Thailand mengenai perkembangan terkini berhubung prestasi pelaburan di Malaysia.

Difahamkan, laporan daripada sebuah stesen televisyen itu membandingkan aliran masuk wang asing di dalam bentuk pelaburan ke dalam negara antara Thailand dan Malaysia.

Jelas laporan itu, tiga syarikat teknologi gergasi dunia iaitu Amazon Web Services (AWS), Google, dan juga Microsoft telah mengumumkan keputusan mereka untuk melabur ke kedua-dua buah negara.

Walau bagaimanapun, syarikat gergasi berkenaan dengan visi yang jelas bertindak melabur di dalam jumlah lebih besar kepada pusat data di Malaysia berbanding negara gajah putih itu.

Faktor inilah yang menyebabkan media Thailand terbabit menyifatkan Malaysia sebagai pesaing ‘menakutkan’ berhubung prestasi menarik minat pelabur asing masuk ke dalam negara.

@kingmshahrul1

Jika kita bercakap mengenai tarikan dana asing, Malaysia adalah pesaing yang menakutkan..

♬ original sound – Ramosha – Ramosha

“Sekiranya kita melihat prestasi pesaing di dalam menarik masuk wang asing (dalam bentuk pelaburan), Malaysia boleh dianggap sebagai pesaing yang menakutkan.

“Sebagai contohnya, syarikat teknologi gergasi daripada luar negara telah mengumumkan bahawa mereka akan melabur di dalam sektor pusat data di Malaysia dan juga Thailand.

“Tetapi kita dapat melihat bahawa syarikat teknologi itu mempunyai visi yang jelas dan bertindak melabur dengan lebih banyak di negara Malaysia berbanding Thailand,” lapor media Thailand berkenaan dalam rakaman itu.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna terutamanya rakyat Malaysia tumpang gembira menonton laporan tersebut selain berharap ekonomi negara terus berkembang.

Baca juga: Lebih 7 ribu penduduk Kelantan ada bil air tertunggak, cecah RM4.6 juta untuk 2022, 2023