Malaysia Dateline

Media: Vaksin terpinggir walaupun khidmat diperlukan

Segala penat lelah, risiko  dan pengorbanan pengamal media tidak diambil peduli apabila dua menteri yang bertanggungjawab untuk vaksinasi gagal menepati janji mereka.

Ketua Penaja Parti Pejuang Ulya Aqamah Husamudin meningatkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin bahawa pengamal media sering mengenepikan keselamatan diri bertugas di lapangan termasuk membuat penggambaran di hospital serta pengebumian dan bilik mayat mangsa Covid-19.

“Pengamal media juga mempunyai keluarga dan jika dibandingkan dengan beberapa sektor yang lain, petugas media terutamanya jurugambar dan juruvideo terpaksa keluar setiap hari untuk mengambil visual dengan niat menabur bakti bagi negara untuk menangani Covid-19 sekaligus mencapai imuniti kelompok,” kata beliau.

Katanya, proses vaksinasi pengamal media perlu dipercepatkan, jangan lengah-lengahkan kerana media juga adalah barisan hadapan.

“Bantu mereka permudahkan urusan tugasan mereka sebagai saluran maklumat kepada rakyat,” katanya.

Dua bulan lalu pada 18 April, Saifuddin Abdullah meminta pihak pentadbiran kerajaannya sendiri supaya pemberian vaksin kepada pengamal media disegerakan memandangkan mereka juga adalah barisan hadapan.

Beliau seterusnya berkata vaksinasi membabitkan pengamal media mungkin dibuat dalam fasa dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula pada April.

Pada 28 April pula Khairy Jamaluddin mengumumkan seramai 1,500 petugas media akan diberi vaksinasi pada bulan Mei.

“Peliknya, pelbagai program kerajaan berterapkan usaha-usaha Kerajaan menangani Covid-19 telah dianjurkan yang memerlukan kehadiran pengamal media untuk liputan, rata-ratanya memerlukan kehadiran fizikal,”katanya.