Malaysia Dateline

MEF, MTUC mahu gaji minima dikajisemula, tidak relevan naik tahun depan

Datuk Samsuddin Bardan

Persekutuan  Majikan Malaysia, ((MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)  berpendapat kerajaan harus mengkajisemula keputusan untuk menetapkan gaji minima bagi pekerja tempatan dan pekerja asing kepada RM1,050 di negara ini walaupun keputusan itu disambut dengan baik.

Pengarah Eksekutif MEF Datuk Samsudin Bardan berkata,  gaji minima seharusnya  dikajisemula  mengikut kawasan, industri dan jenis pekerjaan.

Jelasnya, sebanyak 1.8 juta pekerja yang bergaji di bawah RM1900 ialah warga asing dan tidak mendatangkan faedah kepada rakyat.

“Pekerja ini, sejurus mereka menerima gaji, mereka tidak membelanjakan wang tersebut, malah mereka memberinya kepada keluarga mereka di negara masing-masing.

“Ini menyebabkan pengaliran wang keluar dan dijangka pada tahun hadapan sebanyak RM1.5 bilion sehingga RM2 bilion akan berlaku pengaliran wang keluar yang tidak memberi keuntungan kepada negara,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline di sini hari ini.

Menurutnya, para peniaga juga akan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan mentah susulan daripada kenaikan gaji tersebut.

“Bila gaji dinaikkan secara automatik harga barangan juga akan dinaikkan dan ini bukanlah sesuatu yang dimahukan rakyat di dalam proses pemulihan ekonomi negara ini,”katanya.

Sementara itu, beliau berharap agar kerajaan memgkaji semula untuk memberikan bayaran subsidi kepada majikan kerana ianya sedikit sebanyak dapat membantu majikan di negara ini.

Semalam kerajaan bersetuju untuk melaksanakan kadar gaji minimum yang seragam di Semenanjung, Sabah dan Sarawak termasuk Wilayah Persekutuan Labuan menjelang Januari 2019.

Keputusan yang dicapai sebula suara dalam mesyuarat kabinet itu memutuskan gaji minimum rakyat Malaysia yang bekerja di sektor swasta adalah RM1,050 sebulan / RM5.05 sejam berkuatkuasa pada 1 Januari 2019.

Datuk Abdul Halim Mansor

Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor pula berkata, beliau menyambut baik ketetapan kerajaan untuk menyelaraskan gaji minima diseluruh negara.

Namun beliau melahirkan  rasa kecewa kerana cadangan gaji minima sebanyak RM1500 sepertimana diwar-warkan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) tidak dilaksanakan oleh kerajaan.

“Sepatutnya Kementerian Sumber Manusia mengkaji dahulu semua aspek ekonomi di Malaysia, apakah gaji minima sebanyak RM1,050 itu wajar?

“Tambahan lagi, ianya dilaksanakan pada tahun hadapan, di mana pada saya ianya tidak relevan. dengan keadaan ekonomi semasa yang menyempitkan golongan yang berpendapatan rendah ini,”ujarnya.

Menurutnya, kerajaan seharusnya mementingkan golongan pekerja  selain daripada pelabur dan juga majikan.

“Tanpa tenaga kerja,  ekonomi negara mungkin tidak akan berkembang dan pelbagai lagi implikasi lain yang akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara kelak,” katanya.

Jelasnya, kerajaan seharusnya prihatin untuk mengkaji semula dan memantau keadaan ekonomi semasa daripada segi berpendapatan rayat terendah, pekerja warga asing  dan termasuk juga kemampuan.