MEF, MTUC tidak sependapat tentukan gaji minima RM1,500

MEF, MTUC tidak sependapat tentukan gaji minima RM1,500

Kadar gaji minimum RM1,500 yang dijangka diwartakan pada bulan ini, mendapat reaksi berbeza daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).

Presiden MTUC Datuk Abdul Halim Mansor (gambar kanan) berkata kongres itu menyokong penuh pelaksanaan kenaikan gaji minimum pekerja dalam tempoh lima tahun ini, namun dengan syarat tidak menekan mana-mana pihak terutama majikan.

“MTUC masih memperjuangkan kadar gaji minimum kepada pekerja ditetapkan tidak kurang daripada RM1,500. Pihak kami telah membuat keputusan mengenainya (kenaikan gaji minimum) menerusi hasil kaji selidik bersama Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara (JTPGN) dan perbincangan Persidangan Perwakilan MTUC.

“Ia merangkumi beberapa aspek iaitu, gaji minimum tersebut perlu dilaksanakan hanya kepada pekerja tempatan dalam semua sektor selain kadar gaji itu perlu efektif dan selari dengan tanggungjawab kerja,” katanya ketika seperti dilapor Bernama.

Abdul Halim berkata penetapan gaji minimum ini perlu dikaji setiap dua tahun bukan hanya dirancang dalam satu jangka masa sahaja, mengikut peruntukan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN).

Pada sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat kelmarin, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata pewartaan kadar gaji minimum baharu itu selaras dengan janji Pakatan Harapan (PH) menerusi manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, dengan kajian setiap dua tahun.

Kenaikan gaji ditanggung majikan

Kula Segaran ketika menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) pada sesi itu, berharap had gaji minimum dapat dinaikkan sehingga RM1,500 menjelang satu penggal pentadbiran kerajaan Pakatan Haraan.

Namun pandangan berbeza disuarakan Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan  (gambar kiri) yang berpendapat bahawa tidak adil bagi majikan sekiranya kenaikan kadar gaji itu ditanggung sepenuhnya oleh majikan.

“Dalam manifesto Harapan pada PRU14, kerajaan Harapan berjanji membantu majikan dengan subsidi 50 peratus daripada apa jua nilai kenaikan gaji minimum, tetapi ketika ini kerajaan mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai dana untuk membayar subsidi itu.

“Persoalannya adakah ia sesuatu yang adil bagi majikan untuk menanggung 100 peratus kenaikan itu, sedangkan kerajaan sendiri sudah berjanji untuk beri subsidi,” katanya.

Shamsuddin berkata majikan sudah berdepan dengan beban kenaikan kos pembayaran gaji pada awal Januari lepas, apabila levi bagi pekerja warga asing perlu ditanggung oleh majikan.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, kadar gaji minimum baharu itu turut dilihat lebih menguntungkan pekerja warga asing berbanding pekerja tempatan.

“Pekerja bergaji bawah RM1,200 di negara ini mencecah 1.9 juta orang dan hampir 95 peratus daripada jumlah itu adalah warga asing… apabila kadar baharu itu dilaksanakan, faedahnya akan lebih dinikmati pekerja warga asing berbanding warga tempatan sendiri,” katanya.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote