Mei, November, Sepenggal, Anwar bakal PM8

Mei, November, Sepenggal, Anwar bakal PM8

Polemik peralihan kuasa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8 Malaysia hanya akan ditentukan oleh mesyuarat Majlis Presiden  Pakatan Harapan (PH) sekiranya mahu ‘time frame’ peralihan kuasa itu dikuatkuasakan.

Jika peralihan kuasa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu berlaku mengikut perjanjian dua tahun PH iaitu pada Mei, Anwar bakal jadi PM8.

Sekalipun berlaku tambahan masa pada November selepas Persidangan Apec 2020 seperti cadangan Dr Mahathir, Anwar bakal jadi PM8.

Wahaima sepenggal sekalipun seperti desakan pemimpin dan akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahukan Pengerusi parti mereka kekal  sehingga Pilihan Raya Umum ke-15, Anwar bakal jadi PM8 jika PH terus kekal berkuasa.

Anwar dilihat satu-satunya tokoh tunggal dalam komponen PH yang disertai  PKR,DAP,AMANAH dan Bersatu  berkelayakan dan berkebolehan mengantikan Dr Mahathir.

Tiada lagi pemimpin lain dilihat setanding Anwar walaupun wujud dua kem dalam PKR, yang sedikit mencalar imej Anwar untuk menjadi seorang pemimpin besar negara jika isu-isu dalaman parti sendiri gagal diselesaikan,

Namun majoriti suara akar umbi parti-parti komponen dalam PH masih kekal menyokong kepimpinan Anwar PM8 walaupun beliau sekali lagi terpalit dengan isu moral yang tidak berkesudahan.

Sudah pasti ia juga bukan tindakan ‘berani mati’ yang akan mengundang padah perpecahan, jika terdapat mana-mana pemimpin parti komponen PH yang bertindak untuk menungkah arus menolak Anwar PM8 jika PH terus kekal berkuasa selepas PRU15 kelak.,

Dalam prinsip amalan demokrasi berparlimen di Malaysia, perlantikan  seseorang Perdana Menteri adalah di bawah bidangkuasa dan budi bicara Yang Di Dipertuan Agong, di mana YDP Agong melantik seorang Perdana Menteri yang pada pandangan baginda adalah seorang yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan.

Dr Mahathir telah dilantik oleh Yang Dipertuan Agong bukan disebabkan  oleh kedudukan atau senioriti beliau dalam politik Malaysia, tetapi kerana  beliau mendapat sokongan komponen PH yang mendapat kerusi majoriti di  Dewan Rakyat iaitu PKR, DAP, AMANAH dan Bersatu.

Justeru sekiranya proses peralihan kuasa itu mengikut perjanjian sebelum PRU14 pelantikan PM8 akan melalui proses sama mendapat majoriti Dewan Rakyat dan mendapat perkenan YDP Agong, jika senario itu  dikekalkan sudah pasti Anwar bakal PM8.

Pensyarah Kanan Pusat Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, semua pihak perlu kembali kepada prinsip asal yang telah dipersetujui antara Dr Mahathir dan Majlis Presiden PH untuk menyerahkan kuasa dalam tempoh dua tahun.

“Tanpa adanya sokongan dari  parti gabungan, Tun M tidak akan dipilih sebagai PM oleh YDP Agong kerana Bersatu hanya mempunyai 12 kerusi Parlimen dan hanya bertambah sedikit selepas penyertaan beberapa bekas ahli Parlimen Umno.

“Jadi prinsip asasnya, kerana ada kekuatan dalam gabungan PH yang mengizinkan Tun M berada di kedudukannya sekarang yang wujud dari persefahaman dan perjanjian setia yang telah dibina sebelum PRU-14 yang lalu, walaupun tidak ada suatu tarikh yang jelas dipersetujui bersama.

“Saya berpendapat, kedudukan dan wibawa Majlis Presiden PH sebagai badan penentu keputusan dalam komponen PH perlu dihormati oleh semua pihak yang telah mengikat janji ini termasuk Dr Mahathir sendiri.

“Walaupun bukan kuasa Majlis Presiden untuk melantik Perdana Menteri, tetapi dari segi prinsip permuafakatan dalam politik demokrasi, Majlis Presiden merupakan entiti yang boleh menentukan kedudukan seorang PM selagi kolisi (coalation) PH ini mempunyai suara majoriti di Dewan Rakyat,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Kata beliau lagi kedudukan Anwar Ibrahim sebagai ikonik politik sehingga dekad ini tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa.

Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk dipalitkan dengan isu moral, beliau berjaya mengatasinya dengan tenang dan sokongan rakyat terhadapnya terus utuh.

Pengalaman Anwar dalam kerajaan dan track recordnya yang baik dalam pengurusan ekonomi sewaktu menjadi Menteri Kewangan telah menjadikan beliau seorang tokoh yang diyakini.

“Saya tidak fikir ada tokoh lain yang lebih sesuai berbanding beliau untuk menjawat jawatan PM8 selepas pengunduran Tun M.

“Samada wujud atau tidak rancangan untuk mengagalkan pelan peralihan kuasa ini, saya fikir tidak mustahil ada tokoh lain yang akan berjaya merebut jawatan itu (PM),

“Tetapi siapa pun individu tersebut, mereka tetap berada di senarai belakang selepas Datuk Seri Anwar ibrahim,” ujarnya.

 

705 total views, 3 views today