Mekanik tampil bersuara, jelas punca kos ‘steering rack’ Viva viral cecah RM3000 lebih

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini, tular perkongsian seorang wanita mengenai caj dikenakan oleh sebuah bengkel untuk membaiki kereta jenis Viva miliknya yang mengalami kerosakkan di bahagian stereng.

Difahamkan, stereng itu sering bergegar ketika kereta berkenaan dipandu sehingga membuatkan wanita terbabit mengambil keputusan untuk menghantarnya ke sebuah bengkel.

Namun alangkah terkejutnya wanita itu apabila diminta untuk membuat pembayaran sebanyak RM4777 ditolak dengan deposit RM1500 selepas kenderaan tersebut siap dibaiki.

Susulan tularnya perkongsian itu, rata-rata pengguna media sosial mempersoalkan tindakan bengkel berkenaan yang dikatakan mengenakan caj dengan harga mahal terutamanya bagi kos ‘steering rack’.

Menyedari hal itu, mekanik bengkel berkenaan yang dikenali sebagai Muhammad Zulfaqqar tampil menjelaskan hal sebenar menerusi satu hantaran tular dimuat naik di akaun Facebook miliknya.

Zulfaqqar menjelaskan bahawa steering rack yang dipasang pada kenderaan gadis itu sememangnya mahal berikutan pihak Perodua sudah menghentikan pengeluaran komponen asli tersebut.

Harga komponen asli berkenaan mahal kerana Perodua sudah menghentikan pengeluaran.

“Kena ‘viral’ hari ini. Kan sudah beritahu ‘power-steering rack’ Viva yang asli mahal. Perodua sudah hentikan pengeluaran. Mereka tukar ‘vendor’ dan yang buat rack itu juga tak banyak. Memang harga dia mahal. Abang pun tak simpan stok.

“Sudah bertahun tak dapat stok rack Viva. Kalau nak yang baru, abang kena pesan dekat Perodua guna deposit dari pemilik kereta. Stok tersedia yang ada pun Taiwan punya sahaja. Sudah cakap harga rack Viva boleh dapat tiga batang rack Myvi asli.

“Ingat ambil kos rack itu harga rm150 ke sebelum dijual dengan harga sampai RM3,000? Ramai pula jadi batu api racun suruh pergi laporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” kesal mekanik itu.

Menurut Zulfaqqar, penjelasan tersebut terpaksa dilakukan untuk menjelaskan salah faham orang ramai berhubung isu kos pembaikan kereta Viva yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam perkongsian sama, mekanik berkenaan turut berkongsi kekesalannya kerana ada pihak yang membandingkan caj dikenakan bengkelnya dengan harga komponen terpakai di pasaran.

Baca juga: Wanita mengigil bayar kos baiki stereng Viva, ‘diketuk’ bengkel lebih RM6000! – “Boleh beli kereta sebiji!”