Mekanisme salur dana ke negeri pembangkang sedang dikaji, kata Azmin

Mekanisme salur dana ke negeri pembangkang sedang dikaji, kata Azmin

Kerajaan Pakatan Harapan sedang mengkaji satu mekanisme terbaik bagi menyalurkan dana pembangunan kepada empat negeri yang ditadbir oleh pembangkang untuk memastikan negeri berkenaan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmi Ali berkata adalah menjadi dasar kerajaan Pakatan Harapan untuk memastikan pembangunan yang dilakukan di semua negeri dilakukan secara adil dan saksama khususnya di negeri yang tertinggal dalam konteks pembangunan negara.

“Walaupun ada negeri yang berada di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan PAS, tetapi kita mesti dilihat berlaku adil untuk pembangunan di negeri berkenaan demi kepentingan rakyat.

“Cumanya kita masih mengkaji mekanisme dan kaedah penyampaian yang sesuai untuk memastikan dana pembangunan itu disampai telus kepada rakyat yang memerlukan khususnya di kawasan luar bandar,”katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pidato Malaysia Baharu di Dewan Dagangan Indera Mahkota semalam yang turut dihadiri oleh Anggota Parlimen Indera Mahkota Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang juga Menteri Luar.

Perbincangan awal tentang perkara itu telahpun dilakukan dalam Mesyuarat Majlis Presiden dan akan diteliti lebih rapi oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mekanisme bakal diperkenalkan itu nanti tidak mewujudkan situasi dua kerajaan seperti yang berlaku semasa pemerintahan kerajaan BN sebelum ini.

“Contohnya royalti minyak Terengganu disampaikan kepada rakyat dalam bentuk wang ihsan, namun ia tidak telus dan hanya dikuasai oleh pemimpin-pemimpin Umno di kawasan berkenaan.

“Kita tidak mahu mereka menguasai dana kerajaan kerana peruntukan itu adalah untuk rakyat dan mekanisme baharu itu adalah untuk memberi impak pembangunan di kawasan berkenaan,”katanya.

Dalam mesyuarat yang sama, beliau mengetengahkan cadangan untuk memberikan hak kepada rakyat untuk menentukan bentuk pembangunan yang dikehendaki di kawasan mereka dan bukan lagi sepenuhnya ditentukan oleh kerajaan.

Katanya amalan itu telahpun dilakukan di Selangor sebelum ini di mana persatuan penduduk, persatuan belia dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diberikan hak untuk menentukan perbelanjaan sebanyak 20 peratus daripada peruntukan yang diberikan kepada berkuasa tempatan (PBT),

“Rakyat mesti rasai mereka juga sebahagian daripada pembangunan, walaupun bukan keseluruhan… ini kerana mereka lebih memahami bentuk pembangunan yang diperlukan di kawasan yang berkenaan.

“Saya telah cadangkan di peringkat Mesyuarat Majlis Presiden dan akan diputuskan di peringkat kabinet,” katanya, dipetik Bernama.

 

COMMENTS

Wordpress (0)