Mekdi dalam lokalisasi negara

Mekdi dalam lokalisasi negara

Mungkin ia tidak sehebat isu Zakir Naik dan tulisan jawi khat tetapi dalam hiruk piruk pelbagai isu, kalau sesiapa menyedari McDonald’s Malaysia telah mengubah nama restorannya kepada penyebutan biasa dan ringkas dalam kalangan warga negara iaitu `Mekdi’. Bagaimanapun ia hanya di restoran McDonald’s Bukit Bintang. Jika dilihat ia hadir dengan papan tanda yang lebih menarik dan tampak lebih tempatan dengan nama terbaharu iaitu “Mekdi”.

Penggunaan nama terbaharu ini hanya dibuat di restoran McDonald;s di Bukit Bintang kerana ia adalah yang pertama dibuka di negara ini pada 1982.

Pastinya ramai yang tertanya-tanya apakah yang membuatkan McDonald’s Malaysia merubah nama kepada “Mekdi”. Naib Presiden McDonald Malaysia dan ketua pemasarannya Melati Abdul Hai memberitahu mereka meraikan sambutan ulang tahun ke-37 penubuhan Mekdi di negara ini.

Katanya sepanjang 37 tahun ini, rakyat Malaysia telah membantu memajukan jenama McDonald sehingga ke hari ini. Sebagai tanda penghargaan, kami memutuskan untuk menggunakan nama samaran yang mesra `Mekdi’ yang sinonim dnegan jenama kami.

Rasanya ia juga bersempena dengan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Mungkin McDonald ingin memberi makna sejarah penjenamaannya sebagai sesuatu yang diingati dan dipahat dalam sejarah negara.

Warga dunia mengetahui nama McDonald adalah fenomena sejagat. Ahli sosiologi sering memaparkan restoran makanan segera seperti McDonald (dan restoran makanan segera asing lain) sebagai suatu bentuk imperialisme budaya. Kemasukan restoran makanan segera ke negara sedang membangun telah mengenepikan makanan segera tradisional di negara tersebut.

Sejarah budaya makanan segera di Amerika bermula dengan kemunculan industri/kilang yang memperkenalkan kerja tiga syif. Memandangkan ramai juga tenaga perkerja terdiri daripada (suami-isteri) di bidang automasi, elektronik, pertahanan dan berkaitan tidak mempunyai masa untuk menyediakan makanan seperti keluarga biasa, maka makanan segera diperkenalkan sebagai gantinya.

Sungguhpun nama burger itu sendiri berasal daripada perkataan Jerman dan dikaitkan nama sebuah bandar iaitu Hamburg, rasanya roti dan dikapitkan daging di tengah merupakan idea syarikat burger Whimpey (antara syarikat burger terawal di AS) tetapi telah dikembangkan ke serata dunia oleh beberapa syarikat seperti Burger King, White Castle dan akhirnya McDonald.

Tetapi globalisasi syarikat makanan segera McDonald telah memperkenalkan beberapa perkara kepada rakyat negara ini mengenai kepantasan dan kecekapan dalam penyediaan makanan, berbaris untuk membeli makanan, penyediaan makanan bersih, konsep berperaturan, disiplin dan perkhidmatan pelanggan. Kesan daripada globalisasi McDonald, satu konsep yang diperkenalkan iaitu McDonaldisasi (McDonaldization) yang merupakan pembudayaan makanan segara Amerika dan ideologinya, keseragaman perkerjaan, budaya dengan amalan disiplin sosial bekerja.

Tidak dinafikan Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan makanan segera, kita mempunyai nasi lemak, roti canai, roti bakar, tosai dan puri serta pelbagai lagi tetapi kita tidak menamakannya sebagai makanan segera kerana tidak mempunyai budaya kerja untuk dikaitkannya. Di AS, makanan segera diperkenalkan kerana ia berkaitan dengan budaya kerja tiga syif di kilang-kilang.

Di Malaysia apabila zon industri bebas (FTZ) diperkenalkan dengan kemasukan pelabur asing dari AS, Jepun dan negara Eropah Barat sekitar akhir tahun 70-an, maka kemasukan makanan segera di negara tidak boleh ditolak seperti KFC, McDonald, Pizza Hut, White Castle, Whimpey, Burger King dan berbagai lagi. Ia seolah-olah seperti bagasi budaya, perindustrian dikaitkan dengan pakejnya iaitu makanan segera.

Di Malaysia makanan segera Barat yang diperkenalkan menjadi satu bentuk budaya moden dan `fasionable’ seolah-olah mereka yang tidak memakannya seperti sudah ketinggalan zaman atau tidak ikut trend. Oleh itu tidak seperti di AS ia adalah budaya makanan pekerja industri (tetapi sekarang sudah merubah juga) namun di Malaysia dan negara sedang membangun lain ia merupakan suatu trend dan klise permodenan.

Di AS, McDonald sering dikaitkan dengan kekeluargaan, hari kebangsaan, patriotisme, kedermawanan, khidmat masyarakat dan juga ikon budaya media seperti Coke dan Disney. Selain itu di serata dunia, McDonald sinonim dengan gerbang emas (golden arches), satu ketika dahulu dengan Ronald McDonald, McDonaldland dan patung-patung mainannya untuk kanak-kanak.

Bagi tokoh-tokoh sosiologi seperti George Ritzer dan Benjamin Barber, mereka memaparkan kemunculan McDonald dalam proses globalisasi sebagai membawa homogenisasi, terkenal dengan sebutan McWorld dengan konsep pemasaran universal, amalan sosial, bentuk budaya dan produk yang mengambarkan ciri-ciri McDonald. Bagi Barber, kuasa-kuasa antagonistik pihak fundamentalis Jihad akan menentang McWorld dengan nilai liberal dan semangat demokrasi.

Namun di kebanyakan negara sedang membangun, restoran-restoran McDonald telah menjadi tempat untuk remaja dan pelajar berkumpul dan melepak. Ada yang menggunakan restoran McDonald untuk membuat tugasan, membaca, berbincang projek dan menulis. Ramai juga yang menjadikan restoran McDonald sebagai tempat berceloteh, bersembang dan “membawang”. Restoran McDonald di kawasan perdidikan tinggi sering dijadikan tempat tumpuan pelajar kerana dibuka 24 jam.

Di samping itu, kanak-kanak suka membuat sambutan hari jadi mereka di restoran McDonald. Ternyata McDonald telah membawa kepelbagaian dan kebaharuan dalam kehidupan sosial masyarakat majmuk di negara ini.

Selain daripada wujudnya kajian sosisologi mengena Imperialisme Budaya bersandarkan budaya makanan segera AS seperti konsep McWorld dan McDonaldisasi, di Amerika McDonald dikaitkan dengan kes-kes saman seperti McLibel dan McSpotlight kerana ia didakwa mengakibatkan obesiti dan dikaitkan dengan penyakit jantung dan barah.

Namun di sebaliknya McDonald telah melahirkan budaya makanan segera hibrid dan kebaharuan dalam budaya bukan Barat. Malah beberapa pengkritik juga telah menyatakan bagaimana dengan kehadiran McDonald ia telah membentuk produk, rekayasa, suasana tempatan dan melahirkan kepelbagaian pengalaman, fungsi sosial dan kepentingan dalam situasi pelbagai budaya.

Pada satu ketika, saya adalah pemakan tegar burger malah pernah menjual burger dan kalau tidak silap saya, burger hibrid lahir dari syarikat Yeo Hiap Seng atau sering dipanggil Yeos sekitar tahun 80-an. Namun Ramli Burger mempopularkan burger buatan Malaysia menjadi budaya popular di negara ini sebagai jenama makanan segera terkenal dalam kalangan rakyat. Tentulah ramuan burger tempatan seperti Ramli Burger mengikut selera dan cita rasa tempatan.

Kalau burger McDonald hanya tertumpu kepada daging lembu, burger keluaran syarikat tempatan terdiri daripada burger ayam (untuk kaum India) dan daging. Tetapi burger hibrid telah mengalami proses metamorfosisnya kepada burger dengan keju, sos tomato, cili dan mayonis meleleh dan burger oblong, menjadi ia sesuatu yang khusus untuk Malaysia. Di samping burger, lahir juga burger dan tekaur dan egg banjo tempatan. Malah ia telah melahirkan industri burger tempatan dengan roti, sos dan daging ayam dan lembu, stor mini burger serta tidak ketinggalan hotdog.

Bagi menyangi restoran McDonald, banyak gerai burger dibuka di tepi jalan dan di ruang-ruang makanan, semua berasal dari kemunculan McDonald. Mungkin juga penjenamaan McDonald Malaysia kepada Mekdi boleh bermula dengan restoran McDonald di Bukit Bintang di samping kedudukan lokasi yang terdiri daripada berbilang kaum dan terdapat ramai pelancong antarabangsa.

Strategi pemasaran McDonald boleh diuji di sini untuk melihat sejauh manakah penerimaan pelanggan dalam menjenamakan restoran McDonald dengan Mekdi. Bahkan sempena Hari Kemerdekaan restoran McDonald juga telah menyediakan Nasi Lemak McD untuk disesuaikan dengan selera tempatan. Kelainan nasi lemak McD ini ialah ia tidak menyediakan kari, ia boleh dianggap nasi versi McD tetapi disesuaikan dengan selera rakyat Malaysia. Ia datang dengan beras wangi yang dimasak dengan santan, ikan bilis, timun segar, telur dan sambal yang tentunya bercirikan Malaysia.

Bahkan menu Ayam Goreng McDonald tiga kali pedas telah memperlihatkan selera makanan orang Malaysia yang suka pedas.
McDonald sedang me-Malaysia-kan dirinya sebagai salah sebuah restoran bercirikan Melayu dan Malaysia. Daripada sebuah syarikat makanan segera berciri budaya makanan segera Amerika, proses global McDonald telah mengambil proses lokalisasi iaitu glokal, memahami budaya masyarakat berbilang kaum, dengan selera dan budaya makanan tempatan.

Bukannya Malaysia tidak ada makanan segera malah kita mempunyai kepelbagaian dan keanekaaan (antara seperti disebutkan di atas) tetapi McDonald cuba menempatkan dirinya sebagai sebahagian daripada pilihan kepada makanan yang sedia ada terutamanya dalam kalangan generasi Google.

* Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Unisel