Malaysia Dateline

Melaka akan bantu usahawan tingkat ekonomi negeri, kata Ketua Menteri

Kerajaan negeri Melaka sentiasa peka dengan potensi bidang keusahawanan yang menyumbang kepada ekonomi negeri serta rakyat khususnya usahawan wanita dan akan berusaha untuk membantunya.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata ia penting kerana kebanyakan usahawan baharu yang menceburi bidang perniagaan memerlukan bantuan terutama lokasi niaga yang bersesuaian, berpatutan dan berdaya maju untuk mereka memulakan operasi.

Justeru, katanya, pembukaan Bazar Melaka di Kota Tun Fatimah di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini merupakan platform terbaik untuk usahawan wanita menjalankan perniagaan mereka selain ia mampu merancakkan semula pusat komersil tersebut.

“Setelah kira-kira 10 tahun Kota Tun Fatimah yang sebelum ini dikenali sebagai Kota Fesyen beroperasi, pusat perniagaan ini masih lesu, tidak bermaya serta tidak mendapat sambutan daripada para usahawan.

“Ia seolah-olah menjadi projek gajah putih berikutan kurangnya aktiviti perniagaan, dengan  premis ditutup dan pemilik premis menghadapi kesukaran mencari penyewa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bazar tersebut, di sini, hari ini.

Kota Tun Fatimah yang berkeluasan 4.16 hektar dengan sejumlah 173 unit kedai dua tingkat itu dibangunkan pada 2007 dengan kos pembangunan RM52 juta.

Mengulas lanjut, Adly berkata Bazar Melaka itu menyediakan sebanyak 110 tapak perniagaan untuk usahawan wanita selain 10 tapak bagi perniagaan ‘food truck’ yang akan beroperasi tiga hari seminggu iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 5 petang hingga 1 pagi.

Beliau berkata bazar itu terbahagi pada dua komponen utama iaitu Bazar Melaka yang menjual barangan seperti pakaian, gajet komunikasi, kraftangan, aksesori wanita, produk kesihatan serta barangan keperluan harian dan Pasar Agro-Best yang menawarkan produk pertanian daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Menurutnya, peniaga akan dikecualikan bayaran sewa tapak selama enam bulan dan mereka hanya perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM250 sahaja.

“Yuran itu akan dipulangkan semula kepada peniaga dalam bentuk khemah dan apron untuk kegunaan mereka dan kita akan memantau perkembangan perniagaan mereka dari semasa ke semasa supaya ia menguntungkan,” katanya.

Sementara itu, Adly berkata, pusat kebajikan ‘Tienda CMO Prihatin’ yang menjual pelbagai barangan terpakai termasuk pakaian pada harga yang murah akan turut beroperasi di bazar tersebut.

Katanya ia bertujuan memberi peluang pada golongan yang kurang berkemampuan atau sesiapa sahaja untuk mendapatkan barangan sumbangan orang ramai daripada pusat kebajikan tersebut dan hasil jualan akan diagihkan kepada golongan memerlukan di negeri itu.-Bernama