Malaysia Dateline

Melaka alami penurunan 13.9 peratus bekalan air terawat

Melaka sehingga hari ini mengalami penurunan sebanyak 13.9 peratus bekalan air terawat yang menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa tempat di negeri ini baru-baru ini, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata jumlah permintaan serta penggunaan semasa air di negeri ini adalah pada 639 juta liter sehari, bagaimanapun hanya 550 juta liter air terawat sehari dapat dibekalkan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) disebabkan takungan air di empangan dan taburan hujan yang rendah.

Katanya Empangan Jus di Jasin yang mempunyai kapasiti 45,000 juta liter air pada masa ini mempunyai kapasiti semasa sebanyak 19,315 juta liter; Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah (32,600 juta liter/6,620 juta liter); dan Empangan Asahan di Jasin (700 juta liter/225 juta liter).

“Terdapat 22 kawasan yang terjejas bekalan air iaitu 17 di Melaka Tengah, tiga di Jasin dan dua di Alor Gajah. Sebanyak 26 lori tanki telah dihantar ke kawasan terjejas bagi memberikan bekalan air kepada penduduk di kawasan itu.

“Pihak SAMB sedang berusaha untuk terus menstabilkan semula kolam yang terjejas dan akan memastikan bekalan air sampai ke setiap premis pengguna,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Adly berkata langkah diambil bagi mengepam air dari Empangan Jus ke Empangan Durian Tunggal, mengepam air dari kolam-kolam alternatif ke Sungai Melaka, mengepam 47 juta gelen sehari bersamaan 220 juta liter sehari dari Sungai Grisek, Muar ke Empangan Durian Tunggal; dan mendapatkan bekalan air terawat daripada Syarikat Air Negeri Sembilan.

“Semua pihak adalah diharap dapat bersama-sama berusaha untuk menjimatkan penggunaan air dan menggunakan air secara berhemah. Segala kerjasama pengguna adalah amat dihargai,” katanya.

— BERNAMA