Malaysia Dateline

Melaka bakal perkenal empat inisiatif baharu kempen #iniRumahKita

Kerajaan Negeri Melaka akan memperkenalkan empat inisiatif baharu dalam memperkasa usaha pelaksanaan kempen #IniRumahKita bermula tahun hadapan, kata Ketua Menterinya Adly Zahari.

Beliau berkata empat inisiatif itu akan mengambil kira elemen atau kluster di bawah Dasar Kebersihan Negara yang dilancarkan hari ini bagi menarik penglibatan lebih ramai rakyat ke arah menjadikan amalan kebersihan sebahagian daripada aspek kehidupan mereka.

“Di peringkat Kerajaan Negeri, #IniRumahKita adalah satu kesedaran awal untuk memupuk rakyat terhadap aspek kebersihan bermula awal tahun ini dan ia selaras dengan Dasar Kebersihan Negara.

“Pada tahun ini kita mulakan #IniRumahKita dengan aktiviti gotong-royong dan empat lagi inisiatif baharu akan kita terapkan dengan mengambil kira Dasar Kebersihan Negara,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Dasar Kebersihan Negara, Sambutan Hari Habitat Sedunia dan Hari Kitar Semula Peringkat Kebangsaan pada Program Perumahan Rakyat (PPR) Tehel hari ini.

Yang turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin dan Timbalannya, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah.

Mengulas lanjut, Adly berkata kempen #IniRumahKita dan Dasar Kebersihan Negara tidak akan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dalam kalangan rakyat negara ini atau mencapai sasaran yang ditetapkan sekiranya kesedaran rakyat terhadap aspek kebersihan masih rendah.

Beliau berkata, ia perlu dilaksanakan secara berterusan agar impaknya dapat dirasai dalam tempoh jangka masa panjang khususnya menerusi aspek pendidikan.

“Kita di peringkat Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah menyediakan sistem dan infrastrutur yang mencukupi bagi menyokong usaha ini tetapi apa pun ia bergantung kepada kesedaran masyarakat,” katanya.

Sementara itu, suri rumah Fazlina Aba, 33, dari PPT Sungai Putat di sini berkata pelancaran Dasar Kebersihan Negara oleh KPKT menjadi satu usaha baik bagi memupuk dan mempertingkatkan kesedaran rakyat terhadap kebersihan persekitaran mereka.

Bagaimanapun ia bergantung kepada mentaliti rakyat kerana usaha itu bermula daripada individu dan bukannya tanggungjawab kerajaan semata-mata.

“Banyak usaha kerajaan telah dilakukan melalui pelbagai kempen kebersihan seperti kitar semula antaranya melalui risalah, radio dan televisyen namun ia dilihat masih kurang berkesan kerana mentaliti seseorang individu terhadap kebersihan juga penting,” katanya.

Bagi Raizan Aziz, 29, dari Malim berkata Dasar Kebersihan Negara yang diperkenalkan mampu membentuk generasi yang lebih berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap pembangunan negara menerusi lima kluster yang diberi keutamaan.

Beliau berkata, salah satunya di bawah kluster ekonomi kitaran, rakyat dapat menjana pendapatan melalui aktiviti kitar semula sisa makanan dan barangan seperti botol kaca, plastik dan kertas.

“Secara tidak langsung kita membantu pengurusan kitar semula dan menjimatkan kos pelupusan serta ruang bagi tapak pelupusan sampah,” kata kakitangan kerajaan itu.

— BERNAMA