Malaysia Dateline

Melaka bakal tubuh Yayasan Nusantara

Kerajaan negeri Melaka akan menubuhkan Yayasan Nusantara bagi menjenamakan semula negeri ini sebagai hab perpaduan dan menjana ekonomi masyarakat Islam di rantau Asia Tenggara.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata yayasan itu yang akan berada di bawah kendalian Jabatan Ketua Menteri Melaka itu telah pun mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan dijangka beroperasi Jun hadapan.

“Kita sedang mengenal pasti lokasi bersesuaian dan yayasan ini akan beroperasi dengan beberapa perkara (agenda) termasuk ‘Amanah Finance House’ yang mana kita telah memulakan usaha (penubuhan yayasan) ini sekitar bulan Ogos, tahun lepas.

“Selain itu, kita juga sedang menstruktur peranan mereka, dan menyelesaikan aspek pentadbiran terlebih dahulu sebelum memulakan operasi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat operasi Serantau Muslim yang merupakan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) hari ini.

Pada majlis yang turut dihadiri Pengerusinya, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob itu, Adly turut melancarkan program Kembara Prihatin dan Sahabat Serantau Muslim anjuran NGO tersebut.

Adly berkata kerajaan negeri menyokong penuh usaha NGO tersebut yang akan membuat jaringan di peringkat antarabangsa terutamanya, membabitkan kebajikan komuniti masyarakat Islam termasuk di Palestin dan Syria.

“Oleh itu, kita dapat bertukar-tukar pengalaman dengan mereka bagi menangani isu kebajikan rakyat terutama melibatkan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40),” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Adly berkata program Kembara Prihatin akan digunakan bagi menjejaki golongan asnaf di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Katanya program tersebut berjalan setiap minggu dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka dan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) bagi mendapatkan maklumat mengenai golongan sasar.

“Manakala, program Sahabat SM pula merupakan program bagi mempromosikan aktiviti kesukarelawan dalam kalangan rakyat sebagai inisiatif membantu golongan yang kurang berkemampuan. Ini adalah satu usaha murni dan perlu disokong oleh semua pihak,” katanya.

— BERNAMA