Malaysia Dateline

Melaka: Banjir kerap di kawasan sama kerana kerajaan gagal cari punca

Apabila banjir kilat berlaku dengan begitu kerap, lebih-lebih lagi di beberapa kawasan yang sama, ia bukan lagi suatu bencana semata-mata, tetapi juga merupakan kegagalan kerajaan untuk mengenal pasti punca masalah dan mengambil langkah-langkah penyelesaian yang efektif, demikian menurut Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.

Katanya, Perdana Menteri dan Ketua Menteri perlu mengambil kesempatan ini untuk memahami punca berlakunya banjir kilat secara berulang kali dan menyatakan komitmen mereka untuk menyelesaikannya secara menyeluruh.

“Antara punca utama banjir kilat berlaku adalah kegagalan untuk memastikan infrastruktur pengairan dan saliran diselenggara dan dinaiktaraf dengan baik.

“Sebagai contoh, pintu kawalan air (baraj) Sungai Melaka telah rosak untuk beberapa tahun tetapi masih belum dibaik pulih. Baraj ini mempunyai 4 pintu, tetapi hanya 1 yang boleh berfungsi. Oleh itu, air hujan tidak dapat mengalir ke sungai dengan baik,” kata beliau.

Katanya, bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah membantu menangani masalah ini dengan meluluskan peruntukan RM10 juta untuk membaiki baraj air tersebut setelah perkara ini dibangkitkan oleh wakil rakyat Pakatan Harapan.

Bagaimanapun katanya setelah berlakunya pertukaran kerajaan, projek tersebut masih tidak siap lagi sehingga hari ini.

“Rakyat menanti-nantikan sama ada projek ini akan siap pada April 2022 seperti yang dijanjikan oleh Ketua Menteri,” tambah beliau.

Dalam Belanjawan 2022 negeri Melaka, Ketua Menteri juga telah mengumumkan bahawa RM931.2 juta ringgit akan diperuntukkan untuk projek-projek pengurangan banjir.

Selain itu, Perdana Menteri juga telah mengumumkan ketika lawatan beliau ke Melaka hari ini bahawa peruntukan RM8 juta tambahan telah diluluskan untuk langkah-langkah jangka masa pendek.

Tegasnya, semua peruntukan ini amat dialu-alukan tetapi projek-projek tersebut perlu dilaksanakan dengan segera dan berkesan.

Kerana beliau percaya banjir kilat juga berlaku kerana kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan gagal merancang dan memantau pembangunan dengan baik.

“Pembangunan telah berlaku dengan pesat dengan terbinanya pelbagai bangunan yang besar dan tinggi di kawasan bandar.

“Namun, adakah sistem saliran telah dinaik taraf dengan menyeluruh untuk memenuhi keperluan semasa? Projek tambakan laut telah dijalankan secara besar-besaran di Melaka. Ini menyebabkan gangguan terhadap aliran sungai dan air hujan ke laut ketika hujan turun.

“Tidak dinafikan bahawa masalah banjir merupakan isu rumit. Namun kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab untuk menyelesaikan isu ini sebaik mungkin,” katanya lagi.