Malaysia Dateline

Melaka bentang belanjawan lebihan, peruntuk RM390 juta

Kerajaan Negeri Melaka hari ini membentangkan Belanjawan 2020 melibatkan peruntukan RM390 juta dengan lebihan RM220,000 daripada hasil keseluruhan RM390.22 juta, mencatat belanjawan lebihan ke-16 berturut-turut.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata jumlah peruntukan bagi perbelanjaan mengurus itu menunjukkan peningkatan 2.03 peratus berbanding tahun ini sebanyak RM382.23 juta, namun peningkatan itu adalah minimum setelah mengambil kira langkah penjimatan dan komitmen sedia ada.

“Daripada anggaran perbelanjaan tersebut, RM9.17 juta adalah untuk maksud tanggungan dan RM380.83 juta untuk maksud bekalan,” katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan belanjawan negeri bertemakan ‘Memakmurkan Rumah Kita di Bawah Payung Rahmatan Lil Alamin’ pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Katanya perbelanjaan mengurus RM390 juta itu adalah terdiri daripada perbelanjaan untuk dasar sedia ada berjumlah RM378.42 juta, dasar baharu sejumlah RM3.32 juta dan ‘One Off’ sebanyak RM8.26 juta.

Adly berkata di bawah perbelanjaan pembangunan RM70 juta diperuntukkan berbanding RM65 juta tahun lepas, yang melibatkan RM48.74 juta daripada sumber hasil negeri, dan RM21.26 juta pemberian Geran Tahap oleh kerajaan Persekutuan.

Katanya RM380.83 juta bagi maksud bekalan melibatkan RM168.24 juta perkhidmatan dan bekalan atau 44.18 peratus peruntukan; emolumen (RM107.96 juta/28.35 peratus); pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM99.65 juta/26.17 peratus); aset (RM4.39 juta/1.15 peratus); dan selebihnya perbelanjaan lain.

Beliau berkata anggaran hasil negeri Melaka dijangka meningkat kepada RM390.22 juta tahun depan berbanding RM384.29 juta pada tahun ini iaitu peningkatan 1.54 peratus.

“Hasil cukai dijangka sebanyak RM154.65 juta daripada kutipan cukai tanah dan kenaan-kenaan yang berkaitan dengannya. Hasil bukan cukai dianggarkan berjumlah RM181.55 juta daripada faedah dan dividen pelaburan, bayaran lesen dan permit, premium tanah serta bayaran perkhidmatan dan sewaan,” katanya.

Adly berkata terimaan bukan hasil pula RM54.02 juta iaitu daripada pemberian kerajaan Persekutuan dan bayaran balik pinjaman oleh agensi-agensi kerajaan Negeri.

Adly berkata kerajaan negeri prihatin dengan masalah yang sering mengganggu hidup rakyat terutama banjir dan bekalan air, justeru tahun ini RM3.85 juta dibelanjakan bagi langkah jangka pendek mengatasi masalah banjir melibatkan kerja menaik taraf serta pembersihan sistem perparitan dan saliran.

Beliau berkata bagi penyelesaian banjir jangka panjang, projek tebatan banjir dilaksanakan yang kini dalam peringkat reka bentuk berjumlah RM289 juta dijangka siap 2022, melibatkan Sungai Duyong (RM163.8 juta); Bandar Jasin (RM60 juta), Bandar Alor Gajah (RM30 juta) dan Bandar Merlimau (RM36 juta).

Katanya bagi mengatasi masalah banjir kilat, kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM80.86 juta tahun depan untuk melaksana kerja seperti menaik taraf pintu kawalan air muara Sungai Melaka, pemulihan muara sungai dan menaik taraf sistem saliran.

Adly berkata bagi mengatasi masalah sumber bekalan air terhad, kerajaan negeri membelanjakan RM5.12 juta tahun lepas bagi mendapatkan bekalan air mentah dari Sungai Muar dan jumlah itu meningkat kepada RM6.60 juta tahun ini.

Katanya antara pendekatan jangka pendek diambil kerajaan negeri, memohon air tambahan Sungai Muar sebanyak 12 juta gelen sehari, mengepam air ke Sungai Melaka dari kolam tasik Ayer Keroh dan kolam Kesang masing-masing 5 juta liter sehari; dan mengambil tindakan undang-undang terhadap kegiatan pengekstrakan air mentah secara haram.

Beliau berkata pendekatan jangka panjang pula pembinaan Empangan Jernih dengan kos RM168 juta dijangka siap 2022; projek Off River Storage (ORS) di Tasik Biru, Jasin bagi sumber air sebanyak 310 juta liter sehari; dan pemasangan paip dari Tasik Biru ke Empangan Durian Tunggal dengan kos RM40.8 juta.

— BERNAMA