Melaka bincang pembangunan air dengan SPAN

Melaka bincang pembangunan air dengan SPAN

Kerajaan negeri Melaka hari ini mengadakan pertemuan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) esok bagi membincangkan mengenai perancangan pembangunan infrastruktur air pada masa hadapan.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ia merupakan antara langkah yang diambil pihak kerajaan negeri dalam memastikan masalah gangguan bekalan air bagi menampung keperluan penduduk tidak berulang di negeri itu.

“Kita akan melihat apa tindakan yang boleh diambil menerusi perancangan membangunkan infrastruktur air tersebut kerana bagi kita, Melaka mempunyai sumber air yang mencukupi namun ia tidak disusun dengan betul.

“Jadi kita akan lihat sekiranya infrastruktur ini boleh dilaksanakan dalam tempoh tahun ini seterusnya penguna di Melaka berkemungkinan tidak menghadapi masalah air kelak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Expo Melaka Sihat 2019, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), pada Ahad.

Turut hadir Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Low Chee Leong dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Rushidi Ramly.

Mengulas lanjut, Adly, berkata, kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan bekalan air berjadual sekiranya kapasiti air di Empangan Durian Tunggal tidak mencatatkan peningkatan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

Katanya, pelaksanaan itu akan melibatkan 14 hingga 20 peratus jumlah penduduk di negeri ini dan kebanyakkan mereka yang terkesan ialah di sekitar Melaka Tengah berikutan bekalan keperluan penduduk di kawasan itu bergantung kepada kadar tanggungan di empangan tersebut.

“Jika ia satu keperluan kita akan mempertimbangkannya, namun pihak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) akan memaklumkannya lebih awal kepada pengguna selain meningkatkan bilangan lori tangki untuk menghantar bekalan kerana lebih banyak kawasan yang terkesan jika cuaca panas masih kekal.

“Mengikut ramalan kaji cuaca dijangka kita menerima hujan pada minggu hadapan selepas berakhirnya Monsun Barat Daya, namun di peringkat kerajaan negeri, penilaian kita ketika ini jika cuaca kering kekal dalam tempoh satu minggu ini, kita akan bersedia dengan langkah-langkah yang diambil supaya ia tidak sampai ke tahap krisis air,” katanya.– BERNAMA