Melaka Food Festival 2019 berlangsung dua hari bermula Sabtu

Melaka Food Festival 2019 berlangsung dua hari bermula Sabtu

Melaka Food Festival 2019 akan diadakan di Jalan Kota Banda Hilir di sini selama dua hari bermula 24 Ogos ini, kata Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhamad Jailani Khamis.

Beliau berkata terdapat 57 gerai termasuk sembilan ‘food truck’ melibatkan lima segmen iaitu ‘Taste of Melaka’, ‘Melaka Viral Food Festival, ‘Melaka Handicraft Food Festival’, ‘Melaka Food Truck Festival’ dan ‘Melaka Vendor Festival’ disediakan pada festival yang bermula 9 pagi hingga 5 petang itu.

Katanya kira-kira 30,000 pengunjung tempatan dan luar negara dijangka hadir pada festival itu, selaras usaha menyemarakkan Tahun Melawat Melaka 2019 dan Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Program ini dikategorikan di bawah subsektor pelancongan makan-makan negeri Melaka yang mana ia berteraskan makanan dan kebudayaan pelbagai kaum di negeri ini.

“Lima segmen yang diwujudkan itu mempunyai keunikannya tersendiri dan ia merupakan platform memperkenal dan mempromosi makanan dan kebudayaan Melaka kepada pelancong tempatan dan luar negara di samping membantu peserta menjana pendapatan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Zairi Suboh.

Mengulas lanjut, Muhamad Jailani berkata bagi segmen ‘Taste of Melaka’, pelbagai demonstrasi masakan akan diadakan antaranya dodol Melaka, kuih bahulu, kuih bakar dan makanan Baba dan Nyonya.

Beliau berkata makanan viral di negeri itu antaranya Coconut Shake Batu Berendam, Cikitang dan ‘Sotong Bakau Dagha’ juga akan dijual menerusi segmen ‘Melaka Viral Food Festival.

Sementara itu, katanya pada festival itu juga, Melaka akan melancarkan ‘Visit Truly Asia Malaysia 2020’ peringkat negeri sebagai kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 pada 24 Ogos pada 3 petang.

“Festival ini mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak antaranya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Perbadanan Muzium Melaka dan empat pihak berkuasa tempatan di negeri ini,” katanya.

— BERNAMA